Program IBPS kawal kualiti padi – IADA

0
124

TANJONG KARANG: Program pengedaran Insentif Benih Padi Sah (IBPS) oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memberi faedah kawalan kualiti padi serta membolehkan pesawah memperoleh benih yang sah, menurut agensi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor.

IBPS adalah satu daripada program subsidi dan insentif yang diuruskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi membantu golongan sasar dalam sektor padi dan beras iaitu pesawah.

Pengarah IADA Barat Laut, Rozaidi Abdul Rahman, berkata tindakan MAFI memilih NAFAS sebagai pemborong tunggal adalah langkah yang munasabah kerana ia mampu mengawal kualiti benih padi.

“Dengan adanya IBPS, benih padi yang tidak sah dapat dikurangkan dan akhirnya dapat dihapuskan. Apabila kualiti dapat dijaga, insya-Allah kita akan dapat hasil yang lebih baik, sekiranya benih padi tidak tumbuh, NAFAS akan membuat pertukaran dengan segera kepada pesawah,” katanya.

Pada November tahun lalu, MAFI melantik NAFAS sebagai pemborong tunggal di bawah program IBPS untuk membuat pembekalan terus kepada pesawah dan diberi amanah untuk mengendalikan pengagihan benih padi sah memandangkan ia mempunyai kecekapan rantaian pengedaran menerusi 145 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Semenanjung.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Tanjung Karang, Mohd Ruzi Abu Hassan, berkata pelantikan NAFAS sebagai pemborong tunggal benih padi negara dapat membantu petani memperoleh subsidi dan insentif bersasar serta dapat menurunkan harga benih padi hingga dua kali ganda.

Pengurus Besar PPK Tanjung Karang, Hashim Abdul Hamid, berkata mereka diberi tanggungjawab mengedarkan benih padi sah membabitkan lebih 2,600 pesawah bagi keluasan 5,800 hektar dan melalui program itu, pihaknya dapat mengatasi isu-isu yang timbul sebelum ini.

Hashim berkata, PPK juga cuba memendekkan rangkaian berbanding sebelum ini yang menggunakan orang tengah, dengan berurusan terus kepada petani, ketua blok dan ketua kelompok, dengan cara ini pesawah akan dapat benih padi terus ke rumah atau sawah tepat pada masanya.

Kebanyakan pesawah juga menerima program itu dengan tangan terbuka dan berharap tuaian padi akan berlipat kali ganda susulan kualiti benih yang lebih baik serta harga lebih terkawal berbanding sebelum ini mereka terpaksa membeli benih padi daripada pengilang ataupun orang tengah.

Mohamad Mohassim Mohd Ali, 61, yang mempunyai sawah berkeluasan 30 hektar di sini berkata dengan mendapat benih padi yang lebih berkualiti di bawah program IBPS itu, beliau berharap penanaman untuk musim ini lebih berjaya.

“Kini, pesawah tidak ada masalah sebab benih itu cepat (sampai), dan pilihlah varieti yang terbaik, varieti yang ditawarkan bagus dan cantik, dan pesawah tidak ada masalah untuk menanam bagi musim akan datang ini,” katanya.

Bagi anak muda Mohd Yazid Basir, 35, beliau optimis dengan peningkatan tuaian pada masa hadapan mampu menjangkau lebih daripada tujuh hingga lapan tan yang dinikmatinya sekarang di tanah kepunyaannya seluas 1.2 hektar.

“Saya wakil petani muda kawasan sawah sempadan ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak NAFAS yang membekalkan benih padi. Benih padi yang dahulu mahal sekarang murah dan mampu dibeli, harganya berpatutan.

“Walaupun saya membawa varieti padi yang lambat masak, setakat ini alhamdulillah boleh mengawal semua penyakit dan segala peruntukan seperti baja yang NAFAS turunkan menepati masa dan lancar,” katanya. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here