Rakyat perlu sedia terima kebiasaan baharu, hidup ‘bersama’ COVID-19

0
76

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu bersedia untuk hidup bersama COVID-19 namun dengan mengamalkan normal baharu bagi mengelak dijangkiti virus berkenaan.

Pakar Perunding Kesihatan Awam, Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, berkata ini kerana wabak itu akan terus wujud dan sangat mudah berjangkit, selain masih belum ada ubat berkesan membunuh virus berkenaan.

“Benar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh memutuskan penularan tetapi ia perlu dilakukan dalam tempoh yang lama (lebih 6 bulan) dengan kos amat tinggi, kemelesetan ekonomi teruk dan kemusnahan kehidupan.

“Kita juga tidak mempunyai ubat berkesan untuk membunuh virus ini yang boleh digunakan untuk merawat kes di peringkat awal supaya pesakit tidak melarat menjadi lebih teruk dan tidak menjadi sumber jangkitan pada orang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Lokman yang juga Felo Akademi Perubatan Malaysia menjelaskan negara sebenarnya sudah bersedia untuk hidup bersama COVID-19 dan menghadapi gelombang seterusnya akibat virus terbabit.

Katanya, ini kerana negara berjaya merendahkan lengkok epidemiologi jangkitan dan menyelamatkan sistem kesihatan daripada kesan keterlaluan seperti dialami Itali dan Amerika Syarikat (AS).

“Sistem kesihatan negara berjaya diperkukuhkan dari aspek kapasiti unit rawatan rapi (ICU) termasuk alat ventilator, kapasiti wad untuk rawatan, wad bagi kes berisiko rendah, kapasiti ujian diagnosis dan kapasiti pusat kuarantin diwartakan.

“Bukan setakat merendahkan lengkok, kita juga berjaya mengurangkan kes dalam kalangan warga tempatan kepada satu angka sahaja.

“Maknanya risiko penularan dalam masyarakat dan risiko merebak melalui pergerakan manusia adalah sangat rendah,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan supaya membuka semula sektor ekonomi dan sempadan negeri sepenuhnya bersama dengan pengukuhan amalan normal baharu yang pragmatik.

“Jika tidak, pakej rangsangan ekonomi termasuk Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya akan kelihatan cantik di atas kertas dan negara berisiko tinggi menepati ramalan Bloomberg bahawa Malaysia akan mengalami kemelesetan ekonomi teruk dalam masa enam bulan lagi,” katanya.

Sumber : Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here