Rampas mercun, bunga api RM50,000

0
131

BENTONG: Seorang penganggur berusia 38 tahun ditahan di sebuah rumah kerana memiliki mercun dan bunga api bernilai RM50,000.

Lelaki terbabit ditahan dalam serbuan di rumahnya di Taman Desa Damai, Bentong, setelah mendapat maklumat dari orang ramai pada jam 12.30 malam tadi.

Ketua Polis daerah, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata pemeriksaan di bahagian ruang tamu rumah terbabit menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api.

Katanya, lelaki itu juga gagal mengemukakan sebarang lesen atau kebenaran untuk memiliki dan menjual mercun serta bunga api.

“Hasil siasatan juga mendapati suspek baharu memiliki semua jenis mercun dan bunga api terbabit dan disimpan di dalam rumah sewa suspek sebelum dijual kepada orang ramai sempena Aidilfitri.

“Siasatan akan diteruskan untuk mengenalpasti dari mana mercun dan bunga api itu diperoleh,” katanya, di sini, hari ini.

Zaiham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan tanpa lesen sah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimun tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua duanya sekali.

Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak menjual atau bermain mercun tanpa permit termasuk yang sudah diubahsuai kerana perbuatan itu merbahaya selain menyalahi undang undang.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here