Rang Undang-undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara COVID-19 masih dirangka

0
70

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara untuk mengurangkan kesan ekonomi dan sosial akibat pandemik COVID-19, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MITI berkata kaji selidik dan cadangan berkaitan RUU itu, yang diuar-uarkan menerusi platform perundingan dalam talian Perbadanan Produktiviti Malaysia iaitu Unified Public Consultation (UPC), akan ditutup esok 5 Jun, 2020.

“Sertailah sebahagian usaha ini dan berikan cadangan anda mengenai RUU tersebut,” menurut MITI dalam ciapan menerusi Twitter di @MITIMalaysia.

Seorang daripada responden di UPC mencadangkan kerajaan mewujudkan platform e-dagang di bawah kementerian yang bertanggungjawab bagi kesemua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana e-dagang yang sedia ada mempunyai peringkat perniagaan yang bercampur-campur sekali gus tumpuan kepada pertumbuhan PKS tidak begitu memberi kesan.

Beliau juga berpandangan kerajaan Persekutuan dan negeri, serta organisasi swasta, perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan undang-undang atau peraturan bagi memotong semua bonus/insentif/bantuan kewangan (tambahan kepada gaji biasa) untuk dikreditkan kepada platform e-dagang ini.

“Subsidi juga dapat disalurkan melalui platform ini. Ini akan memastikan bahawa semua peluang untuk mendapatkan dana/pendapatan tambahan akan tertumpu kepada pembangunan PKS,” kata responden tersebut.

Responden lain pula menyarankan sebuah badan penyelarasan di peringkat pusat untuk semua agensi perlu ditubuhkan, dengan setiap kementerian dan kerajaan negeri mesti mempunyai jawatankuasa penyelarasan pusat untuk menjawab pertanyaan dan kenyataan agensi.

Sumber: BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here