‘Rentas negeri tidak dibenarkan walaupun antara zon hijau’

0
307

KUALA NERUS: Aktiviti rentas negeri masih tidak dapat dibenarkan meskipun antara kawasan hijau, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata setakat ini, kebenaran merentas negeri hanya diberikan secara bersyarat iaitu perjalanan bagi tujuan pelancongan melalui agensi pelancongan dan bukan perjalanan secara individu.

Ini kerana katanya Kementerian Kesihatan (KKM) masih lagi ‘sensitif’ berhubung kebenaran rentas negeri kerana aktiviti itu pada Disember lalu pernah merekodkan 32 kluster baharu COVID-19.

“Sekarang ini hanya perjalanan melalui agensi pelancongan sahaja yang dibenarkan sebab kita akan tahu perincian perjalanan. Kalau pergi dengan syarikat pelancongan, perjalanan mereka akan dimaklumkan kepada polis, polis akan tahu kawasan mana mereka pergi dan jadual perjalanan mereka pun sudah ada.

“Tetapi kalau kita benarkan pergi sendiri, contohnya Perak kawasan hijau, Kedah kawasan hijau, Langkawi pun (kawasan) hijau. Katakan orang Perak hendak ke Langkawi, dia terpaksa melalui Pulau Pinang. Bagaimana kita hendak tahu dia betul-betul ke Langkawi? Siapa tahu sekiranya dia bercuti ke Pulau Pinang,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para) di Kem Sri Pantai Seberang Takir di sini hari ini.

Ismail Sabri sekali lagi menegaskan tiada sesiapa pun termasuk golongan berstatus VIP akan terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati melanggar peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19.

Beliau berkata sebelum ini pun, tindakan undang-undang telah dikenakan terhadap beberapa golongan VIP seperti menteri dan timbalan menteri kerana didapati melanggar SOP.

Ismail Sabri juga berkata setakat ini, seramai 21,791 anggota tentera telah menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi fasa pertama membabitkan anggota yang bertugas di barisan hadapan seperti di sekatan jalan raya serta yang bertugas di luar negara seperti Lubnan dan Filipina.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kem Sri Pantai Seberang Takir yang menempatkan Batalion ke-18 RAMD telah menerima peruntukan kira-kira RM30 juta bagi projek pembangunan dan naik taraf.

Katanya antara projek yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan sebuah poliklinik membabitkan peruntukan RM25 juta, yang bukan sahaja bakal memanfaatkan kira-kira 800 penghuni kem malah masyarakat luar selain sebuah masjid baharu membabitkan peruntukan RM5 juta yang bakal menampung kapasiti 1,000 jemaah dan akan turut dibuka kepada masyarakat luar.

“Kerja pembinaan poliklinik kesihatan itu telah bermula Januari tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2023. Masjid baharu juga telah mula pembinaannya pada Januari tahun ini dan dijangka siap November tahun depan,” katanya. – BERNAMA

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here