‘Sakura Malaysia’ produk pelancongan baharu negara

0
207

KUALA LUMPUR: Pokok tecoma berbunga putih serta merah jambu dan dikenali sebagai ‘sakura Malaysia’ bakal diketengahkan sebagai produk pelancongan baharu negara pada masa hadapan.

Pokok tecoma atau nama sainstifiknya ‘tabebuia pentaphylla’ dilihat mampu menjadi tarikan pelancong luar dan dalam negara disebabkan ia hanya muncul secara ‘bermusim’, ketika Malaysia berdepan cuaca panas, sekitar Mac dan April setiap tahun.

Ia juga bakal diketengahkan kerana kelebihan ‘insta-worthy’ seperti beberapa lokasi di luar negara contohnya di Shinjuku Gyoen di Jepun; Central Park, Amerika Syarikat (AS) serta Keukenhof, Belanda.

Ketua Pengarah Landskap Negara, Rotina Mohd Daik, berkata ketika ini usaha penanaman pokok tecoma oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) digalakkan kerana menerima sambutan baik oleh orang ramai.

Katanya, hasrat untuk menjadikan tecoma sebagai antara produk pelancongan mampu dilaksanakan dengan kerjasama PBT melalui reka bentuk landskap yang khusus.

“Kita sedar hari ini pokok tecoma menerima sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dan ia bertepatan dengan Dasar Landskap Negara untuk mengindahkan lagi landskap pelbagai lokasi khususnya bandar-bandar di seluruh negara.

“Untuk menjadikan tecoma sebagai satu produk pelancongan, ia perlu dilaksanakan menerusi satu perancangan khusus membabitkan PBT, antaranya menyediakan sebuah taman khas untuk tecoma.

“Contoh di Jepun, mereka menanam pokok sakura di keseluruhan bukit dan ia menarik ramai pelancong untuk berkunjung di situ. Jika tecoma ditanam berselerak tanpa perancangan landskap yang rapi atau bukan secara berskala besar, ia tidak akan kelihatan menarik.

“Pihak PBT perlu tahu taman awam yang ada bukan hanya dibangunkan untuk aktiviti riadah semata-mata, sebaliknya boleh diindahkan dengan pelbagai jenis pokok-pokok teduhan, berbunga dan unik,” katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Rotina berkata, tarikan pokok tecoma yang dinikmati rakyat Malaysia hari ini adalah hasil dasar ‘garden nation’ yang dilancarkan negara pada 2010.

Katanya, pokok tecoma adalah antara pokok yang dipilih khas dan perlu ditanam PBT sebagai pokok teduhan untuk menurunkan suhu di bandar-bandar ketika itu.

“Fokus dasar ini adalah untuk mengurangkan pemanasan global dan ketika itu kita mempunyai senarai pokok-pokok teduhan yang mempunyai ciri-ciri menarik, antaranya tecoma,” katanya.

Beliau berkata keindahan landskap negara ini juga ilham daripada kempen menanam pokok yang dilancarkan pada 1997 dan sejak itu bahagian landskap di PBT seluruh negara merangka pelbagai program untuk mencantikkan kawasan masing-masing.

“Jabatan Landskap juga akan sentiasa membantu perancangan PBT di seluruh negara dalam usaha memastikan inspirasi keindahan landskap tercapai,” katanya.

**INFO POKOK TECOMA

*sejenis pokok teduhan yang berasal dari Amerika Tengah dan Selatan

* nama pentaphylla adalah merujuk kepada lima daun di setiap tangkai, iaitu ‘penta’ bermaksud ‘lima’ manakala ‘phylla’ pula bermaksud daun dalam bahasa Latin.

* juga dipanggil ‘pokok kertas tisu’ disebabkan kelopak bunga yang tipis.

* di negara-negara Amerika Selatan ia digelar ipe rosa

* di Malaysia ia juga dipanggil ‘cherry blossom of Penang’

* memerlukan cuaca yang kering untuk berbunga penuh

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here