Saringan berkala di sekolah kawasan kes tinggi

0
91

Notice: amp_has_paired_endpoint was called incorrectly. Function called while AMP is disabled via `amp_is_enabled` filter. The service ID "paired_routing" is not recognized and cannot be retrieved. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 2.1.1.) in /home/bmfmediatv/web/bmfmediatv.com/public_html/wp-includes/functions.php on line 5313

Notice: amp_remove_paired_endpoint was called incorrectly. Function called while AMP is disabled via `amp_is_enabled` filter. The service ID "paired_routing" is not recognized and cannot be retrieved. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 2.1.1.) in /home/bmfmediatv/web/bmfmediatv.com/public_html/wp-includes/functions.php on line 5313

KUALA LUMPUR: Pakar kesihatan awam mencadangkan warga sekolah, terutama di negeri yang mempunyai kes baharu COVID-19 yang tinggi menjalani ujian saringan secara berkala walaupun tidak menunjukkan sebarang gejala dijangkiti virus itu.

Guru, murid, pengurusan sekolah dan ibu bapa juga perlu saling bekerjasama untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi sama ada di dalam atau luar sekolah, supaya kesinambungan pembelajaran di sekolah tidak tergendala.

Pakar Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata hipotesis setakat ini menyatakan kanak-kanak kurang menunjukkan simptom dijangkiti COVID-19 kerana kurangnya ekspresi `angiotensin-converting enzyme 2′ (ACE2) di kawasan nasofarinks mereka.

Katanya, golongan itu hanya dikesan dijangkiti jika mereka seorang yang dikenal pasti dalam sesuatu kluster dan jika mereka adalah punca sesuatu kluster, mereka akan dikesan lewat sebagai kontak kepada individu lain.

“Justeru, saringan suhu sahaja tidak mencukupi untuk memastikan kanak-kanak tidak dijangkiti virus itu. Saringan ke atas warga sekolah perlu dilakukan walaupun mereka tidak menunjukkan apa-apa simptom.

“Sebagai contoh, saringan ke atas 10 peratus warga sekolah dilakukan setiap dua minggu, terutama jika kes baharu banyak dikesan di sesuatu kawasan, manakala bagi kawasan yang tiada kes baharu, tidak perlu diadakan saringan kerap,” katanya kepada BH, hari ini.

Kebelakangan ini, kluster COVID-19 tercetus di sekolah dan institusi pendidikan di beberapa negeri, menyebabkan premis itu terpaksa ditutup, antaranya di Kelantan, Selangor dan Johor.

Di Kelantan, semua sekolah dan institusi pendidikan di tujuh daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditutup bermula 18 hingga 24 April, susulan peningkatan ketara kes COVID-19 yang dilaporkan di sekolah di daerah itu, sama ada berpunca daripada guru atau murid.

Di Selangor, sebanyak 19 sekolah diarah tutup, bermula 19 April lalu selepas kes jangkitan COVID-19 dikesan berlaku di sekolah terbabit.

Sharifa Ezat berkata, jumlah kehadiran ke sekolah juga perlu dihadkan, dengan kepadatan maksimum sebanyak 50 peratus sahaja, manakala kaedah penggiliran kehadiran murid dan kelas secara dalam talian amat wajar dilaksanakan.

Mengulas punca penularan COVID-19 di sekolah, beliau berkata, masalah timbul apabila SOP tidak dipatuhi murid, selain guru dan pengurusan sekolah juga tidak tegas dalam melaksanakan SOP berkenaan.

“Garis panduan di sekolah juga tidak jelas, ada yang tidak mengamalkan penjarakan meja dan di kantin. Jika di asrama, murid berhimpit-himpit, tiada SOP,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi & Biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, berkata semua pihak berkepentingan di sekolah perlu saling membantu bagi memastikan SOP dapat dipatuhi sebaik mungkin.

“Kita perlu melihat dari sudut optimis, yang mana kita semua perlu memastikan kesinambungan pendidikan dapat diteruskan dan berusaha mengelakkan kemungkinan usaha itu tergendala.

“Sebagai seorang guru, saya memahami kesukaran guru lain untuk mengekalkan motivasi dalam suasana normal baharu ini, namun kita tidak ada pilihan sehingga kita mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Malina berkata, maklumat tidak rasmi menunjukkan terdapat pelanggaran SOP ketika warga di sekolah makan atau berbual bersama rakan sekerja di pantri, sama seperi pola yang berlaku di tempat kerja.

“Amalan ini perlu diberikan perhatian. Kita perlu sentiasa pakai pelitup muka apabila berinteraksi dengan individu lain.

“Tidak ada yang selamat daripada potensi jangkitan, jadi kita perlu berhati-hati,” katanya.

Beliau turut menegaskan, penutupan sekolah perlu dibuat berdasarkan penilaian risiko dan bukan secara ‘pukul rata’ di seluruh negara.

“Anak-anak perlu diberikan pendidikan. Pihak sekolah boleh membuat jadual giliran untuk memberikan pendidikan secara hibrid iaitu secara logistik dan dalam talian.

“Ini bergantung pada kesesuaian dan kreativiti masing-masing,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here