Sempat lagi curi balak

0
144

TINDAKAN lelaki mencuri balak berusia lebih 100 tahun selepas menceroboh Hutan Simpan (HS) Gunung Tebu, Besut ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa padah apabila ditahan, semalam.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan ketika leka memunggah kepingan papan yang siap dibelah ke dalam Proton Saga yang diubahsuai untuk mengangkut balak berkenaan pada 11.45 pagi.

Kegiatan suspek terbabit dikesan anggota penguat kuasa dari Unit Operasi Pejabat Hutan Daerah Terengganu Utara yang menjalankan rondaan di kawasan hutan simpan berkenaan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Muhamad Abdullah berkata, ketika rondaan di Kompartmen 49 berhampiran Taman Eko Rimba Lata Belatan, suspek dilihat leka memunggah kayu yang sudah dibelah ke dalam kereta dipercayai untuk dibawa keluar.

Menurutnya, anggota penguat kuasa kemudian melakukan intipan dan mengepung kawasan berkenaan sebelum menahan suspek.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati sebatang balak spesies meranti nemesu berusia lebih 100 tahun ditebang sebelum dibelah menjadi papan berukuran empat meter panjang.

“Kita percaya suspek mengambil masa antara satu hingga dua hari untuk menebang dan memproses balak berkenaan menjadi papan sebelum dibawa keluar.

“Ketika ini kita sedang menjalankan siasatan sama ada papan berkenaan dibawa keluar untuk dijual atau kegunaan sendiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya percaya lelaki itu sudah lama melakukan kegiatan terbabit dan suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana mengambil hasil hutan tanpa kebenaran dan menceroboh Hutan Simpan Kekal.

“Balak yang dipotong dianggarkan bernilai RM4,000 dan kereta suspek dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sumber : Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here