Sidang Kemuncak D-8 berakhir dengan deklarasi Dhaka

0
109

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) di Dhaka, Bangladesh melabuhkan tirainya, hari ini dengan Deklarasi Dhaka 2021, yang antara lain mengambil maklum mengenai dua isu utama dihadapi manusia iaitu peperangan terhadap pandemik COVID-19 dan perubahan iklim.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai delegasi Malaysia ke sidang secara maya hari ini, yang didahului dengan Sesi Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri D-8 ke-19 pada Rabu, yang disertai Menteri Luar Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien, dan sesi Mesyuarat Pesuruhjaya D-8 ke-43 pada Isnin dan Selasa.

Negara anggota juga mempertimbangkan penubuhan Tabung Penyakit Pandemik dalam usaha untuk melawan penyakit kronik seperti COVID-19, dan mengarahkan kesemua Kementerian Kesihatan dan institusi awam/swasta untuk menggunakan sepenuhnya makmal yang serba lengkap sedia ada dan pusat kajian untuk penyakit pandemik.

Dalam deklarasi mereka, kumpulan lapan negara itu memanggil negara anggota untuk bekerjasama dalam perbincangan dengan syarikat farmasuetikal antarabangsa yang menghasilkan vaksin COVID-19, dalam memberikan kelebihan dari segi kuantiti dan harga, untuk kesemua Negara Anggota D-8.

Mereka juga memuji peranan penting Menteri Luar Indonesia sebagai Pengerusi Bersama COVAX AMC EG, dalam memastikan akses yang selamat dan sama kepada vaksin untuk semua, kerana tiada satu ekonomi pun yang boleh pulih sepenuhnya, sehingga global mendapat akses vaksin yang adil.

Negara anggota juga mengalu-alukan cadangan Bangladesh untuk pembentukan Kumpulan Kerja D-8, bagi menangani masalah ekonomi akibat pandemik COVID-19, dengan mengenal pasti cabaran dalam perdagangan dan pelaburan, dengan negara itu menjadi tuan rumah kepada mesyuarat pertama.

Berkaitan perubahan Iklim, kumpulan itu mengulangi kenyataan bahawa perubahan iklim adalah satu cabaran terbesar masa kini dan menyatakan, kebimbangan mengenai pelepasan gas rumah hijau terus meningkat di seluruh dunia.

Negara membangun terutamanya, menghadapi masalah terhadap impak buruk akibat perubahan iklim dan telahpun mula mengalami peningkatan terhadap impak itu, yang secara terus mengancam keselamatan makanan, ketersediaan air dan mata pencarian.

Negara anggota menyedari risiko besar yang dihadapi akibat perubahan iklim terhadap kesihatan dan menekankan mitigasi dan penyesuaian terhadap perubahan iklim adalah keutamaan global yang segera dan mendesak.

Mereka menyuarakan komitmen mereka untuk menggabungkan usaha, dalam mencapai adaptasi yang sesuai terhadap perubahan iklim menerusi ‘Climate Vulnerable Forum’ (CVF) dalam usaha untuk mengurangkan kesan buruk terhadap penduduk di negara-negara membangun.

Kumpulan itu turut memperakukan kerja cemerlang yang telah dilakukan Sekteriat D-8 dan menghargai usaha yang telah dilakukan Duta Besar Datuk Ku Jaafar Ku Shaari dari Malaysia iaitu Setiausaha Agung D-8 sejak tiga tahun lepas.

Mereka turut mengalu-alukan pencalonan Duta Besar Nigeria Isiaka Abdulkadir Imam sebagai Setiausaha Agung D-8 yang seterusnya.

Mereka turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan atas kepimpinan, komitmen dan usaha gigih dalam mempromosikan objektif D-8 sewaktu menjadi Pengerusi D-8 serta kerajaan dan rakyat Banglasesh atas kejayaan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ke-10.

Kumpulan itu mengalu-alukan tawaran kerajaan Mesir untuk menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak D-8 ke-11 pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Negara Anggota D-8 adalah Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki dengan sekteriat kumpulan itu berpusat di Istanbul, Turki. – BERNAMA

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here