Taktik seludup PATI lewat malam tidak berhasil

0
28

RANTAU PANJANG: Taktik seorang tekong disyaki cuba menyeludup masuk empat pendatang asing tanpa izin (PATI) menjelang waktu tengah malam, tidak berhasil apabila berjaya dikesan pihak berkuasa di Kampung Kubang Kual, di sini, kelmarin.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9), Superintendan Nor Azizan Yusof, berkata dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, anggota menjalankan rondaan sebelum terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, anggota kemudian menahan kereta terbabit dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum meminta pemandu warga tempatan berusia 32 tahun mengemukakan kad pengenalan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati ada empat penumpang wanita dipercayai warga Thailand berusia 31 hingga 39 tahun yang kesemuanya memiliki pasport tamat tempoh.

“Mereka mengaku masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram di sekitar Sungai Golok, di sini, sebelum menaiki kereta itu ke lokasi transit untuk bergerak ke Selangor serta Johor bagi tujuan bekerja.

“Kesemua suspek ditahan dan kereta dirampas sebelum dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam kejadian berasingan, Nor Azizan berkata, pihaknya turut menahan seorang tekong lelaki berusia 59 tahun dan empat PATI warga Thailand di sebuah chalet di Kampung Paya Pasir, Wakaf Bharu, Tumpat, semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati empat wanita warga Thailand berusia 24 hingga 37 tahun itu tidak memiliki dokumen sah. Mereka dipercayai berada sementara waktu di situ sebelum dihantar ke lokasi lain untuk bekerja.

“Kesemua suspek itu kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here