Tawaran internet 1GB percuma dilanjutkan

0
109

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapat persetujuan daripada lima pengendali telekomunikasi untuk melanjutkan pemberian 1GB data harian secara percuma kepada semua pelanggan masing-masing sehingga 31 Julai ini.

Syarikat telekomunikasi itu adalah Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Bhd (TM) menerusi unifi Mobile.

SKMM melalui satu kenyataan memaklumkan, pemberian data percuma 1GB secara harian sejak April tahun lalu, bertujuan membantu rakyat menghadapi norma baharu digitalisasi dan ia sudah dilanjutkan beberapa kali yang sepatutnya tamat pada 30 April 2021.

“Lanjutan terbaru ini dibuat sebagai sokongan tambahan kepada rakyat, atas ehsan dan keprihatinan syarikat telekomunikasi memandangkan situasi pandemik COVID-19 negara ini masih belum stabil.

“Inisiatif ini juga bagi membantu pelajar sekolah berdepan semula dengan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas Aidilfitri seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini,” katanya.

Kuota harian 1GB percuma adalah tambahan kepada pakej langganan data sedia ada dan boleh digunakan bagi mengakses platform sidang video serta menguruskan bahan-bahan pengajaran menerusi e-mel sepanjang hari tanpa sekatan waktu.

Bagaimanapun, kemudahan itu tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video dan muzik serta permainan dalam talian.

Sementara itu, YTL Communications Sdn Bhd (YTL) terus menyokong sistem pendidikan dengan melanjutkan inisiatif Belajar dari Rumah (LFH) sehingga 30 September ini.

Inisiatif itu juga memberi manfaat kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Pakej istimewa itu menyediakan kad SIM percuma dengan data sebanyak 40GB selain kandungan dan telefon pintar percuma untuk pelajar daripada keluarga B40.

SKMM berharap lanjutan pemberian 1GB data percuma harian sehingga 31 Julai ini dan sokongan lain yang disediakan dapat memberi kelegaan kepada rakyat untuk menghadapi perubahan norma baharu dalam Pendidikan, pekerjaan dan kehidupan seharian.

Kerajaan akan terus menggerakkan inisiatif seperti Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pelan Tindakan MyDIGITAL untuk memastikan agenda pembangunan yang berteraskan digitalisasi dilaksanakan secara inklusif tanpa ada golongan yang terpinggir.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here