TH puji usaha PM dapat kuota tambahan

0
129

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) memuji usaha Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang berjaya mendapatkan tambahan 10,000 kuota haji daripada kerajaan Arab Saudi.

TH berkata, penambahan kuota itu akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menunaikan ibadat haji serta dapat mengurangkan masa menunggu pada masa hadapan.

“Saban tahun TH akan membuat persediaan rapi merangkumi pelbagai aspek di tanah air dan tanah suci bagi memastikan kelancaran umat Islam di Malaysia melaksanakan rukun Islam kelima,” kata TH dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin pada sidang media di Riyadh petang semalam sempena mengakhiri lawatan di Arab Saudi berkata, Malaysia mendapat tambahan kuota rasmi haji sebanyak 10,000 lagi yang akan dilaksanakan selepas keadaan wabak COVID-19 terkawal dan ibadah itu dibuka semula.

Perkara itu katanya, dipersetujui oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Raja Salman, dalam pertemuan mereka di Istana Al Yamamah petang semalam.

Putera Mohammed memberikan reaksi positif terhadap permintaan Malaysia bagi mendapatkan kuota haji tambahan apabila kerajaan Arab Saudi membuka sepenuhnya ibadat itu yang terjejas akibat pandemik.

Muhyiddin berkata, beliau menjelaskan ada kira-kira 3.6 juta bakal jemaah haji yang berdaftar dengan Tabung Haji ketika ini dan secara asasnya terpaksa menunggu hingga 130 tahun untuk mendapatkan giliran mengerjakan haji.

“Ini satu berita yang amat baik, cuma sama ada bila masa kuota penuh ini dapat digunakan ini akan ditentukan oleh kerajaan Arab Saudi, bukan saja untuk Malaysia tapi untuk negara lain pun kena tunggu apabila perkara itu akan dilaksanakan,” kata Muhyiddin dalam sidang media itu.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here