Thailand tangguh pemberian vaksin AstraZeneca

0
238

BANGKOK: Thailand menangguhkan pemberian suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca selepas beberapa negara Eropah menggantung sementara program vaksinasi berikutan kebimbangan pembekuan darah penerima vaksin berkenaan.

Mengikut jadual, negara itu akan memulakan program vaksinasi menggunakan vaksin Oxford/AstraZeneca hari ini dengan Perdana Menteri Prayu Chan-O-Cha bakal menjadi individu pertama menerima suntikan.

“Suntikan vaksin untuk rakyat Thailand perlulah selamat, kami tidak perlu tergesa-gesa.

“Walaupun kualiti AstraZeneca baik, beberapa negara meminta untuk ditangguhkan. Kami juga akan tangguhkan,”menurut Penasihat Jawatankuasa Vaksin COVID-19 Thailand, Piyasakol Sakolsatayadorn.

“Kami masih menunggu Denmark dan Austria membuat kesimpulan,” kata pakar virologi Yong Poovarawan.

“Kami menangguhkan program vaksinasi bagi mengetahui sama ada ia disebabkan vaksin itu atau sama ada ia hanya membabitkan kumpulan itu sahaja,” katanya sambil menjelaskan vaksin diterima Thailand dikilangkan di Asia.

Sehingga kini Thailand merekodkan 26,000 kes jangkitan dan 85 kematian akibat COVID-19.

Program vaksinasi negara itu sudah bermula bulan lalu dengan vaksin China, Sinovac dan petugas kesihatan menjadi kumpulan pertama menerima suntikan pada 28 Februari lalu.

Semalam pihak berkuasa kesihatan Denmark menggantung sementara penggunaan vaksin AstraZeneca berikutan segelintir pesakit mengalami masalah pembekuan darah selepas menerima suntikan.

Langkah itu diambil berikutan laporan kes pembekuan darah yang serius dalam kalangan mereka yang disuntik vaksin COVID-19 AstraZeneca.

Sebelum itu, tindakan sama diambil Austria selepas seorang jururawat berusia 49 tahun meninggal dunia disebabkan masalah pembekuan darah yang teruk, beberapa hari selepas menerima suntikan.

Empat negara Eropah lain iaitu Estonia, Latvia, Lithuania dan Luxembourg juga menggantung penggunaan vaksin terbabit, yang turut dihantar ke 17 negara Eropah lain membabitkan satu juta suntikan. – AFP

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here