Tuntutan kewangan MA63 berjalan lancar

0
136

KOTA KINABALU: Usaha untuk mengembalikan tanggungjawab kewangan Kerajaan Persekutuan berkaitan tuntutan Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjalan lancar seperti dirancang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, memberi jaminan perkara itu tidak akan diabaikan, sebaliknya usaha terus diambil menerusi Majlis Khas MA63 yang ditubuhkan Kerajaan Pusat.

Beliau berkata, kerajaan Sabah dan Sarawak sudah bersetuju dengan pembentukan Jawatankuasa Perundingan Bersama yang bertanggungjawab meneliti tuntutan kedua-dua negeri berkaitan soal kewangan.

Katanya, jawatankuasa itu akan memberi tumpuan kepada usaha menyemak semula pemberian geran khas termasuk bayaran balik 40 peratus hasil yang diperuntukkan kepada Sabah seperti ditetapkan dalam Perkara 112 (D) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung perkara ini dan kita sudah bersetuju mengenai terma rujukan termasuk senarai ahlinya,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Sebelum ini, pemimpin di Sabah antara lain menyuarakan tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang dikutip Kerajaan Persekutuan di negeri ini dikembalikan.

Maximus berkata, Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun mengetuai ahli jawatankuasa itu bagi Sabah yang turut dianggotai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong; Peguam Besar Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Rusdin Riman.

Bagi Sarawak, katanya, mereka diwakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan selaku ketua; manakala ahli lain ialah Peguam Besar Sarawak, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid dan Setiausaha Kewangan Sarawak, Datuk Amar Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Beliau yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata wakil Kerajaan Pusat pula diketuai Tengku Zafrul, manakala ahli lain termasuk beberapa pegawai tinggi Kementerian Kewangan.

“Jawatankuasa itu ditugaskan menyemak peruntukan undang-undang berkaitan soal kewangan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63, selain meneliti jumlah geran tahunan serta geran lain seperti dinyatakan dalam MA63, termasuk bayaran terdahulu.

“Jawatankuasa ini juga diberi kepercayaan mengemukakan resolusi mengenai bayaran geran tahunan yang dituntut Sabah dan Sarawak seperti dinyatakan dalam Majlis Khas MA63,” katanya.

Selain itu, Maximus berkata, jawatankuasa berkenaan juga ditugaskan untuk mewujudkan formula bayaran seimbang, adil dan wajar selari dengan status dan sumber kewangan negara.

Katanya, jawatankuasa itu dijangka mengadakan pertemuan selepas mesyuarat Majlis Khas MA63 yang dijadualkan pada 13 April ini dan akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya sendiri akan mempengerusikan Jawatankuasa Perundingan Bersama mewakili Majlis Khas MA63,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here