Varian B.1.617.1 tersebar ke 28 negara

0
117

KUALA LUMPUR: Varian mutasi berganda, B.1.617.1. yang mula ditemui di India, kini dikesan tersebar ke hampir 30 negara di seluruh dunia termasuk Singapura.

Berdasarkan laman web Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) semalam, negara Kota Singa itu merekodkan 121 kes COVID-19 yang didapati mempunyai varian B.1.617.1.

Malah, Singapura ketika ini berada di kedudukan keempat dunia dengan jumlah kes terbanyak yang berasal daripada varian mutasi berganda dari India.

Pada 27 April lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan berkata, varian B.1.617.1 dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19 di India, selain menular di sekurang-kurangnya 12 negara.

Katanya, kegusaran sedemikian timbul apabila varian mutasi berganda dari India itu dikesan menerusi lebih 1,200 jujukan yang dimuat naik ke pangkalan maklumat terbuka GISAID, dari sekurang-kurangnya 17 negara di seluruh dunia.

WHO mendapati, kebanyakan jujukan dimuat naik dari India, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Singapura.

Perangkaan GISAID setakat semalam menunjukkan varian B.1.617.1 menular ke 28 negara, termasuk India.

GISAID ialah usaha sains global dan sumber utama yang ditubuhkan pada 2008 bagi menyediakan capaian data genomik secara terbuka berkaitan virus influenza dan coronavirus, sehingga menyumbang kepada penularan pandemik COVID-19.

Pada 10 Januari tahun lalu, jujukan genom keseluruhan pertama SARS-CoV-2 dimuat naik ke GISAID, sekali gus membuka laluan ke arah tindak balas global terhadap pandemik kesihatan berkenaan.

Ia termasuk pembangunan vaksin pertama dan ujian diagnostik bagi mengesan SARS-CoV-2.

GISAID membantu epidemiologi genomik dan pengawasan semasa bagi mengesan kemunculan sebarang varian baharu COVID-19 dari seluruh dunia.

Malah, kepentingan inisiatif berkenaan diperakui oleh menteri kesihatan Negara Anggota Kumpulan 20 (G20) serta WHO.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, hari ini turut memuat naik laporan berhubung varian mutasi berganda yang diterbitkan theonlinecitizen (TOC) ini ke akaun Facebook rasminya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here