Wanita cedera di lutut, kereta dinaiki dilarikan perompak

0
283

PADAWAN: Seorang suri rumah cedera di lutut kanan selepas ditolak keluar daripada kereta dinaikinya oleh seorang lelaki yang kemudian melarikan kereta itu dari kawasan letak kereta Emart Batu Kawa, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong, berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 4.25 petang ketika mangsa, 51, baru selesai membeli-belah di pasar raya berkenaan.

“Ketika mangsa masuk ke dalam kereta, tiba-tiba seorang lelaki mengacukan pisau di bahagian pinggangnya dan berkata dalam bahasa Mandarin ‘saya mahu kereta saja, tidak mahu cederakan kamu.’

“Mangsa kemudian diarahkan untuk menghidupkan enjin kereta dan dilarang menekan hon. Selepas enjin dihidupkan suspek terus menolak mangsa sehingga terjatuh ke atas jalan raya, menyebabkan lutut kanannya terseliuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jaw Shyong berkata, mangsa kemudian menjerit meminta bantuan dan seorang lelaki yang menyaksikan kejadian itu menghubungi 999.

“Saksi mengatakan hanya melihat mangsa jatuh ditolak seseorang dari dalam kereta dan melihat kereta milik mangsa dilarikan ke kawasan Desa Wira, Batu Kawa,” katanya.

Beliau berkata, mangsa memaklumkan melihat suspek berdiri di belakang keretanya sebelum kejadian itu.

Katanya, mangsa kehilangan dokumen peribadi, kad bank, wang tunai RM200 dan telefon bimbit yang diletakkan dalam beg kerana turut dilarikan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here