Warga emas dituduh dera anjing jalanan

0
229

BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana mendera haiwan dengan menjolok seekor anjing betina jalanan menggunakan sebatang buluh hingga menyebabkan kecederaan pada Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Ng Ah Leak,75, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin dihadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, warga emas terbabit didakwa secara tidak munasabah menjolok seekor anjing betina berwarna putih dengan sebatang buluh sepanjang 2.4 meter hingga cedera pada bawah mata sebelah kiri yang menyebabkan kesakitan dan penderitaannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam longkang belakang rumah bernombor 2 di Jalan Tanjung Indah, Taman Tanjung Indah, Raja Uda dekat sini kira-kira jam 10.30 malam pada 24 Oktober lalu.

Warga emas itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(1)(c) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 29(1) akta yang sama.

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada 100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh diwakili peguam, Lim Jin Hong.

Hakim kemudian menetapkan 13 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, anjing yang menjadi mangsa kes terbabit berada dalam keadaan sihat serta barang kes turut dibawa ke mahkamah ketika prosiding berlangsung hari ini.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here