Yayasan Sabah saman Musa Aman, dakwa RM 872 Juta hilang

0
240

KOTA KINABALU: Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah memfailkan tuntutan terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, bagi menuntut RM872 juta didakwa hak milik Yayasan Sabah yang hilang disebabkan perjanjian aktiviti pembalakan yang meragukan.

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria, berkata tuntutan itu telah difailkan melalui sistem e-filing di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Jun lalu.

“Dalam tuntutan mahkamah itu, kami telah menamakan beberapa penerima dan transaksi membabitkan wang dalam beberapa akaun luar pesisir yang kami tuntut melalui proses perundangan,” katanya dalam sidang media mengenai perkara itu di sini, hari ini.

Turut hadir peguam yang mewakili Yayasan Sabah, Datuk Douglas Lind.

Yayasan Sabah yang juga pemegang konsesi pembalakan terbesar di negeri ini, ditubuhkan pada 1966 bagi menjaga kebajikan sosioekonomi rakyat Sabah serta membantu pembangunan pendidikan negeri, lapor BERNAMA.

Sementara itu, peguam yang mewakili Musa, Tengku Fuad Tengku Ahmad, dalam satu kenyataan berkata Musa menafikan sebarang salah laku dalam isu berkenaan.

Katanya, tindakan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah yang mengumumkan tuntutan terhadap Musa itu disifatkan mencurigakan dan palsu.

Beliau berkata Musa menafikan sebarang tuduhan salah laku ketika beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Yayasan Sabah bermula 2003 sehingga tahun 2018.

“Selain itu, Musa juga menyangkal tuduhan bahawa beliau telah melanggar tanggungjawab fidusiari sebagai pengerusi Yayasan Sabah. Tuduhan yang dibuat terhadapnya hari ini adalah bersifat skandal dan tidak benar sama sekali.

“Kedua, perbuatan mengeluarkan kenyataan yang bertujuan untuk mendakwa melalui media adalah mencurigakan, tidak teratur dan tidak wajar. Ini kerana pihak yang memulakan kes harus membuat penyampaian dokumen kepada defendan atau peguam lantikannya,” katanya.

Tengku Fuad dalam kenyataan itu turut menjelaskan pihaknya juga tidak menerima sebarang dokumen berkaitan tuntutan terbabit.

“Dalam kes ini, Musa tidak diberikan sebarang dokumen termasuk saya sendiri. Saya mendapati bahawa tindakan mereka ini sungguh pelik sedangkan dokumen boleh dihantar ke pejabat saya ataupun ke kediaman beliau.

“Kemungkinan tuntutan melalui media ini adalah bermotifkan politik semata-mata dan juga publisiti yang dirancang untuk mengalihkan perhatian serta mengelirukan orang ramai.

“Bagaimanapun, saya diarahkan untuk menerima tuntutan saman ini dan akan memberi komen lebih lanjut pada waktunya,” katanya.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here