100,000 calon ujian amali lesen memandu terjejas

0
136

BACHOK: Hampir 100,000 calon yang mengambil ujian amali Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara terjejas apabila institut memandu ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jumlah itu membabitkan penutupan 233 institut memandu seluruh negara berikutan PKP fasa dua bermula 5 Februari lalu sehingga 18 Februari ini.

Naib Presiden Majlis Piawaian Pemodenan Industri Institut Memandu Malaysia (MAPIM), Datin Noor Haslina Abdullah, berkata calon sepatutnya sudah menyelesaikan ujian amali JPJ yang menjadi langkah akhir sebelum mereka mendapat lesen sah bagi lesen motosikal (B2) dan kereta (D).

Katanya, jumlah itu tidak termasuk calon yang tidak dapat meneruskan kursus teori, kursus kurikulum pendidikan pemandu (KPP), ujian komputer dan mengikuti kelas memandu praktikal meskipun sudah membuat bayaran.

“Selepas lulus ujian komputer, calon akan diberi lesen belajar memandu atau Lesen L yang perlu diperbaharui dalam tempoh tiga ke enam bulan sahaja dan mereka perlu mengambil ujian amali JPJ dalam tempoh sah laku lesen itu sahaja.

“Jadi apabila institut memandu tidak dapat beroperasi ketika PKP, keperluan mereka untuk dapatkan lesen sah tertangguh sedangkan mempunyai lesen sah adalah keperluan yang sangat penting dalam undang-undang jalan raya,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Akademi Memandu Kist (Amkist) Telong, Bachok.

Noor Haslina berkata, institut memandu mematuhi operasi prosedur standard (SOP) sejak sebelum COVID-19 lagi iaitu dengan mengehadkan hanya dua pelajar dalam satu-satu kenderaan.

Katanya, pihaknya juga sentiasa menjalankan proses sanitasi dan pemeriksaan suhu badan setiap kaki tangan dan pengunjung sebelum memulakan kelas.

Beliau berkata, bilangan pelatih setiap kelas juga dikecilkan kepada 20 orang daripada jumlah asal 50 walaupun berdepan kekangan tenaga pengajar sepanjang PKP.

“Dulu, kita dibenarkan beroperasi, namun apabila PKP kali ini langsung tidak dibenarkan, banyak pihak terjejas terutamanya calon yang mengambil lesen, sebab ada yang belajar di luar negara, kalau mereka tidak dapat menghabiskan kelas atau ujian, apabila tamat tempoh, mereka terpaksa mengulang semula dari awal yang sudah pasti menambah kos mereka,” katanya.

Beliau berkata, penutupan institut memandu juga menyebabkan mereka kerugian antara RM400,000 hingga RM1.5 juta sejak Disember lalu.

“Kami merayu supaya kerajaan membenarkan institut memandu beroperasi bagi membantu pihak yang terjejas seperti calon yang mengambil lesen, cikgu yang mengajar, kakitangan yang bekerja dan pihak lain yang terbabit dalam operasi,” katanya.

Katanya, pihaknya juga banyak menerima permintaan individu untuk mengambil kelas lesen PSV iaitu sejenis lesen memandu vokasional bagi membolehkan mereka mengambil penumpang bagi khidmat Grab selepas diberhentikan kerja atau sebagai pendapatan sampingan di musim pandemik.

Pengarah Akademi Memandu Nasrom, Nur Safriza Ab Halim, 43, berkata beliau turut berharap kerajaan membenarkan operasi semula perniagaan institut memandu memandangkan banyak kos operasi terpaksa ditanggung mereka.

Katanya, ia termasuk bayaran ansuran kenderaan seperti motosikal dan kereta yang perlu dibayar setiap bulan sedangkan tiada bayaran masuk ke syarikat kerana ketiadaan pelajar.

“Jika keadaan ini berterusan, saya risau kami sebagai pemilik institut akan gulung tikar kerana kini kami hanya bergantung pada duit pinjaman bank bagi meneruskan perniagaan seperti membayar gaji pekerja, bil elektrik dan ansuran kenderaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here