11 dicekup langgar PKP, berjudi dalam kebun getah

0
356

JITRA: Polis Sikap degil 11 individu berkumpul di bawah khemah dalam kebun getah di Taman Nilam Kencana 2 di sini, untuk bermain judi mengundang padah apabila mereka yang leka diserbu polis semalam.

Dalam serbuan pada jam 5.45 petang, kumpulan terbabit termasuk seorang wanita berusia antara 29 hingga 69 tahun tidak menyedari kehadiran anggota dan pegawai Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Ketua JSJ negeri, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad, berkata pihaknya bertindak melancarkan Ops Limau selepas mendapat maklumat berkaitan kegiatan perjudian berkenaan.

Katanya, semua suspek bukan sahaja ditahan kerana kesalahan bermain berjudi, tetapi turut melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana duduk pada jarak dekat.

“Seorang daripada lelaki yang ditahan adalah penganjur aktiviti perjudian berkenana manakala sembilan lagi adalah warga tempatan dan dua warga asing masing-masing Indonesia dan Thailand.

“Polis turut merampas meja empat segi, kain putih, cawan seramik putih, piring kecil seramik putih, empat kerusi plastik, kain kanvas oren dan biru, tiga dadu dan wang tunai RM14,369,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sapii berkata, semua suspek dan barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana kesalahan berjudi.

“Mereka turut disiasat mengikut Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar PKP,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here