11 kes denggi dicatatkan di Gunung Keriang

0
35

ALOR SETAR, 30 Mei — Kawasan Gunung Keriang, di sini yang sebelum ini diisytiharkan sebagai kawasan wabak denggi, mencatatkan 11 kes penyakit itu bermula 20 Mei lalu sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Mohd Fikri Ujang bagaimanapun berkata situasi wabak di lokaliti berkenaan adalah terkawal dengan aktiviti kawalan telah dilaksanakan sejak kes pertama dikesan.

“Kes pertama telah dilaporkan pada 20 Mei 2020, disusuli dengan empat kes lagi pada 22 Mei 2020 dan kawasan ini diisytiharkan wabak pada hari yang sama. Aktiviti kawalan telah dilaksanakan bermula 20 Mei 2020 dan diteruskan sehingga kini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, antara aktiviti kawalan yang dilaksanakan termasuk semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan aedes dan pendidikan kesihatan kepada penduduk setempat.

Menurutnya, sejumlah 176 premis diperiksa dan 14 kompaun dengan nilai RM7,000 telah dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, kepada pemilik premis yang dikesan mempunyai pembiakan aedes.

Dr Mohd Fikri berkata antara masalah awal yang dikenal pasti di lokaliti ini adalah amalan menyimpan bekas yang menakung air di luar dan dalam rumah seperti tong, baldi dan kolah mandi yang pembiakan jentik-jentik aedes dalam jumlah yang banyak telah ditemukan.

Tahap kesedaran tentang bahaya dan pencegahan penyakit denggi juga didapati masih kurang dalam kalangan penduduk setempat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bermula dari Januari lalu hingga semalam, jumlah kumulatif kes denggi yang dilaporkan di negeri ini adalah 399 kes berbanding 842 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas.

“Ia adalah penurunan sebanyak 443 kes atau 52.6 peratus pada tahun ini dan pada waktu sama, tiada kematian denggi yang dilaporkan di negeri Kedah sehingga sekarang,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai gejala demam, sakit otot dan sendi, muntah serta cirit-birit terutama penduduk di sekitar lokaliti terlibat supaya mendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan yang berdekatan.

Sumber– BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here