14 ditahan leka judi sabung ayam

0
111

IPOH: Polis menahan 14 lelaki, termasuk lima warga emas leka berjudi sabung ayam, selain merampas wang tunai RM25,078 dalam serbuan di sebuah kebun di Taman Impiana Adril, Jalan Pegoh, Menglembu, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata kesemua suspek berusia antara 21 hingga 71 tahun berkenaan ditahan dalam operasi jam 11.45 pagi di kawasan berpagar itu.

“Hasil siasatan awal mendapati kegiatan sabung ayam itu dipercayai sudah lima kali diadakan dengan penetapan had pertaruhan antara RM500 hingga RM1,000.

“Ayam terbabit akan dibiarkan bersabung selama 20 minit untuk setiap pusingan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam serbuan itu, beliau berkata, polis turut merampas masing-masing lima ayam sabung dan sangkar haiwan terbabit.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat, hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 3(1) Langkah-langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1952.

“Selain itu, semua suspek dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here