2 bekas pesakit COVID-19 semangat duduki peperiksaan

0
93

KUALA TERENGGANU: Pengalaman dan keperitan sepanjang menjalani rawatan selepas disahkan positif COVID-19, tidak menghalang dua pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, hari ini.

Walaupun hanya sempat mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka selama 10 hari sebelum sekolah ditutup akibat tiga warga sekolah dijangkiti COVID-19, mereka mengakui ia sedikit pun tidak menjejaskan semangat.

Sebagai persediaan menduduki peperiksaan, dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar itu mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang proses rawatan selama 14 hari mulai akhir bulan lalu.

“Selepas disahkan sihat, saya dan rakan tidak pulang ke rumah, sebaliknya memilih untuk menetap di asrama bagi mengikuti PdPR bersama 18 lagi rakan yang terpaksa menjalani kuarantin di asrama.

“Dorongan guru, rakan dan doa ibu bapa menyemarakkan semangat kami untuk masuk ke dewan peperiksaan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani mengesahkan tiada calon peperiksaan SPM 2020 yang terpaksa menangguhkan peperiksaan disebabkan jangkitan COVID-19.

Katanya, pihaknya tidak menerima laporan ada antara calon SPM 2020, terpaksa menjalani proses kuarantin disebabkan menjadi kontak rapat kepada pesakit.

“Saya dimaklumkan, calon SPM yang disahkan positif COVID-19 sudah sembuh selepas menjalani rawatan dan dapat mengikuti peperiksaan hari ini,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Sekolah Menengah Agama (SMA) Tok jiring, Kuala Nerus, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Salim mengakui berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh semua pengurusan sekolah dan calon SPM 2020.

“Seramai 18,743, termasuk calon SPM 2020 persendirian menduduki peperiksaan di 169 pusat peperiksaan di seluruh negeri,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here