KOTA MARUDU: Lebih 30 murid sekolah rendah dan tadika bergadai nyawa setiap hari ke sekolah apabila terpaksa menyeberangi sungai berarus deras menggunakan saluran paip menghubungkan dua kampung di Kampung Muhang, di sini.

Meskipun laluan itu tidak selamat digunakan, penduduk tiada pilihan lain selain menunggu hujan berhenti dan arus sungai reda bagi membolehkan mereka menggunakan jambatan aras rendah (low level crossing) yang juga semakin uzur.

Penduduk Kampung Muhang, Zolin Majimun, 29, berkata, hujan berterusan menyebabkan jambatan aras rendah itu kerap ditenggelami air dan tidak boleh digunakan.

Katanya, jambatan yang dibina sejak berpuluh tahun itu juga rosak dan hanya kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang boleh melaluinya manakala kenderaan rendah terpaksa diletakkan berhampiran sungai sebelum penduduk berjalan kaki sejauh dua kilometer ke kampung.

“Setiap kali jambatan itu ditenggelami air, penduduk terpaksa menggunakan saluran paip air graviti yang menghubungkan ke Kampung Jambutan Laya-laya.”

“Murid yang ditemani ibu bapa masing-masing akan memastikan mereka melalui saluran paip itu dengan selamat walaupun licin dan berdepan risiko bahaya,” katanya.

Menurutnya, yang bekerja sebagai peniaga di Kota Kinabalu, perkara itu sudah dialami sejak tahun 2005 sehingga kini.

“Setiap minggu saya akan pulang ke kampung sebanyak dua kali untuk mengambil bekalan buah-buahan dan sayur-sayuran dan sehingga kini, tiada pihak yang mengambil tindakan walaupun aduan dikemukakan kepada pihak berkaitan beberapa kali sebelum ini.”

“Dulu, pembetung di bawah jambatan aras rendah itu runtuh dan hanya kenderaan berat yang boleh melaluinya. Tetapi, setiap kali hujan berterusan, jambatan itu akan ditenggelami air dan penduduk tiada pilihan lain selain melalui saluran paip itu,” katanya.

Kampung Muhang terletak kira-kira 30 kilometer dari Pekan Kota Marudu itu mempunyai lebih 500 penduduk yang terdiri daripada petani, pekebun dan penoreh getah.

Murid sekolah di kampung itu perlu berjalan kaki sejauh dua kilometer dan menyeberangi sungai sebelum menyambung perjalanan sejauh lima kilometer ke Sekolah Kebangsaan (SK) Temuno, Teringai Darat Kota Marudu.

Difahamkan, kebanyakan pelajar sekolah menengah tinggal di asrama dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bengkongan, Kota Marudu manakala sebahagian penduduk ada yang bekerja di luar kampung.

Sumber : Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here