MIRI: Skuad Piala Belia Sarawak United 2020 akan ‘terbang’ ke Kuala Lumpur Februari depan untuk mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan pramusim.

Pengurusnya, Basil Thomas berkata pasukan itu dijangka akan bertemu Selangor, Kuala Lumpur dan PDRM.

“Kita akan menguji kekuatan dan mengesan kelemahan dalam semua  perlawanan persahabatan nanti, sebelum bermulanya kempen Piala Belia 2020 pada 23 Februari depan,” katanya di sini semalam.

Basil berkata, ketika ini semua pemain menjalani latihan setiap hari bagi memantapkan serta mempersiap mental dan fizikal, kesefahaman serta menguji beberapa formasi pasukan.

“Kita memang mengadakan latihan namun belum menguji sejauh mana kekuatan dan kesefahaman kalangan pemain.

“Fokus kita musim ini lebih tertumpu mempertajam semua rangkaian serangan, perancang tengah dan pertahanan serta hantaran lebih tepat,” jelasnya.

Basil amat berharap semua pemain menyarung jersi Sarawak United mampu mengalas tanggungjawab dengan baik dan tenang.

“Kita tidak mahu mereka gugup dan hilang fokus apabila berdepan pasukan dilabelkan kuat, sebaliknya bermain seperti biasa semasa dalam sesi latihan,” katanya.

Sementara itu, semua pemain Sarawak United menjalani pemeriksaan kesihatan dan disahkan bebas daripada sebarang kecederaan.

Kempen Piala Belia 2020 menyingkap tirai pada 23 Februari depan namun persiapan pasukan Sarawak United bermula sejak September lalu.

Basil berkata, skuad muda itu dibarisi beberapa pemain pengalaman dari Piala Belia dan Piala Presiden musim lalu serta pemain dari Sekolah Sukan Tabuan Jaya (SSTJ).

“Gandingan muka baharu dan pemain-pemain berpengalaman diharapkan menjadi ramuan penting bagi menghadapi perlawanan pertama Piala Belia nanti,” jelasnya.

Skuad Piala Belia Sarawak United dibimbing jurulatih berpengalaman, David Usop sambil dibantu barisan penolong jurulatih juga berpengalaman luas dalam bola sepak tanah air.

Bagi David, persediaan bagi menghadapi Piala Belia 2020 berjalan dengan lancar dan semua pemain masing-masing menunjukkan komitmen tinggi dalam latihan.

“Pemain-pemain ketika ini berada dalam mood terbaik dan mereka menunjukkan komitmen tinggi dalam latihan serta bersedia menghadapi kempen Piala Belia 2020 nanti,” katanya.

Sumber : UtusanBorneo

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here