SERIAN : Dua puluh murid sekolah rendah menempuh detik cemas apabila bas yang mereka naiki dirempuh sebuah lori di simpang Simunjan, berdekatan Kampung Jerok Telagus, di sini, hari ini.

Ketika kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, bas berkenaan dalam perjalanan menghantar murid berusia antara tujuh hingga 11 tahun ke sekolah berdekatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, setibanya di lokasi, sebuah lori yang sarat dengan muatan baja tiba-tiba merempuh bahagian belakang bas berkenaan.

“Rempuhan kuat menyebabkan bas sekolah itu terbabas ke tepi jalan namun semua penumpang dan pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ketika bomba tiba di lokasi kejadian, dua lelaki iaitu kelindan lori berkenaan terperangkap di dalam kenderaan manakala pemandunya dikeluarkan oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, anggota bomba bertindak mengeluarkan dua mangsa dengan menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkannya kepada pihak perubatan.

“Pemandu lori yang mengalami cedera di kaki kanan dan seorang kelindan yang patah kaki kiri dibawa ke Hospital Serian,” katanya.

Bomba katanya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.07 pagi dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian dikejarkan ke tempat kejadian.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here