Bekas jaguh badminton negara Misbun Sidek dilantik sebagai pengarah pembangunan remaja kebangsaan.

Pelantikan itu diumumkan Persatuan Badminton Malaysia di media sosial, hari ini.

Presiden BAM Mohamad Norza Zakarian berkata, Misbun diberi tempoh dua bulan untuk mengemukakan cadangan berkenaan struktur baru yang diperlukannya untuk program skuad remaja negara.

“Kami memberikan beliau mandat untuk membuat penilaian mengenai struktur yang ada ketika ini dan selepas tempoh itu beliau akan cadangkan struktur baharu bagi program pemain remaja.

“Selepas itu, baru kami akan tetapkan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kepada Misbun dan pasukannya,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Norza turut memaklumkan tempat Misbun sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki akan diambil alih jurutalih dari Indonesia, Hendrawan.

Mengulas pelantikan itu, Misbun menyifatkan ia sebagai cabaran baru dan berat untuknya dan memerlukan satu atau dua bulan untuk melihat masalah yang ada.

“Mungkin dari aspek modul, teknikal atau jurulatih. Jadi, saya perlu masa sedikit sebelum membuat keputusan mengenai struktur baharu yang akan diketengahkan,” katanya seperti dipetik.

Pelantikan Misbun itu disambut baik oleh sejumlah pengguna media sosial, yang turut mengingatkan agar BAM memberi sepenuhnya ruang kepadanya untuk mengemudi program itu.

Tentang perkara itu, BAM berkata pihaknya memang berhasrat berbuat demikian.

“Itulah dalam fikiran kami, dengan Misbun sebagai ketua. Beliau orang yang dihormati dan akan mampu menerapkan disiplin (kepada pemain) di usia muda,” kata persatuan itu kepada seorang pengguna Facebook.

Memenangi kejuaraan antarabangsa pertama ketika kejohanan Terbuka Jerman pada 1981, Misbun merupakan antara pemain perseorangan utama negara sehinggalah menggantung raket pada 1989.

Beliau menjadi jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan sejak 2003 hingga 2010. Beliau kembali memegang jawatan itu pada 2017 sehinggalah dilantik mengetuai program pembangunan remaja, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengucapkan tahniah kepada Misbun atas perlantikan itu.

“Tahniah saya ucapkan kepada Datuk Misbun Sidek atas pelantikan sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan. Satu tanggungjawab besar untuk negara,” ciapnya di Twitter.

Sumber: Malaysia Kini

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here