MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan seorang warga Kanada telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana disyaki koronavirus.

Dalam satu sidang media pada Rabu, Dr Dzulkefly berkata pihaknya akan terus berhubung dengan HKL bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.

Salah satu foto yang tular menunjukkan anggota Hazmat datang ke Menara 3 Petronas, KLCC memakai sut perlindungan.

“Saya pun baru dapat maklumat mengenainya… saya kira pasukan Hazmat (Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya) datang dengan pakaian yang lengkap dan berjaga-jaga.

“Pesakit telah dibawa ke HKL. Kami akan dimaklumkan perkembangan mengenai kes itu nanti. Apa pun kami akan terus berkomunikasi dengan pihak di sana,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan pemberita mengenai foto-foto tular pasukan Hazmat dan anggota polis yang dilihat berada di Menara 3 Petronas, bangunan KLCC, pagi Rabu.

Sebuah ambulans turut kelihatan.

Sementara itu dalam perkembangan terbaharu, sumber Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa HKL masih menyiasat kes tersebut.

Menurutnya, sehingga kini masih belum ada pengesahan sama ada pesakit tersebut, seorang remaja perempuan warganegara Kanada berusia 17 tahun, positif 2019-nCoV atau sebaliknya.

Terdahulu, menerusi foto-foto dan maklumat yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp itu mendakwa pasukan Hazmat itu hadir susulan panggilan yang diterima daripada Twin Tower Medical Clinic (TTMC) mengenai seorang individu yang didakwa disyaki koronavirus.

Kelihatan dua anggota pasukan Hazmat berada di Menara 3 Petronas.

Maklumat tersebut juga menyatakan individu berkenaan dilaporkan pengsan ketika berjalan di kawasan tempat letak kereta di Tower 3 berhampiran TTMC.

Maklumat yang tersebar itu turut mendakwa, hasil pemeriksaan awal mendapati individu berkenaan positif 2019-nCoV.

Bagaimanapun, dilaporkan mangsa bukan penyewa di menara berkenaan.

Setakat Rabu, jumlah kumulatif kes positif kluster koronavirus di Malaysia adalah 12.

Sumber: mStar Online

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here