DUA lagi kes koronavirus baharu (2019-nCoV) dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes pertama membabitkan adik perempuan kepada rakyat Malaysia pertama yang positif virus itu pada 4 Februari lalu.

Beliau berkata, wanita berusia 40 tahun itu mempunyai kontak langsung dengan lelaki berkenaan semasa pulang menyambut Tahun Baharu Cina di kampungnya di Kedah pada 23 Januari lalu.

“Wanita ini mula mengalami gejala demam dan sakit tekak pada 1 Februari dan batuk pada 4 Februari.

“Beliau mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta bagi gejala yang dialaminya itu.

“Sebaik ahli keluarganya (abang), iaitu indeks kes dikesan positif koronavirus baharu, beliau kemudiannya dijejaki oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” katanya pada sidang media Situasi Terkini Jangkitan 2019-nCoV dan pengesanan kes baharu di Putrajaya, hari ini.

Dr Dzulkefly menjelaskan, hasil siasatan mendapati wanita itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China, namun sebagai sebahagian aktiviti siasatan, sampel wanita itu dan ahli keluarganya yang lain diambil.

“Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya pada 5 Februari lalu dilaporkan positif, manakala bagi lain-lain ahli keluarganya termasuk suami dan anak wanita itu adalah negatif,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, wanita itu dimasukkan dan dirawat di wad isolasi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan stabil.

Menurutnya, ia adalah kes transmisi tempatan pertama dilaporkan berbanding sebelum ini adalah kes diimport.

Sementara itu, kes kedua positif koronavirus baharu dilaporkan kepada CPRC, membabitkan pelancong wanita dari Wuhan, China berusia 37 tahun yang tiba di negara ini bersama ibu dan tiga rakannya pada 25 Januari lalu.

“Mereka sudah melawati tempat pelancongan di sekitar Kuala Lumpur dan pada 1 Februari lalu, dia datang ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan gejala demam ringan dialaminya.

“Doktor yang merawatnya membenarkan dia pulang dengan dibekalkan ubat bagi gejala dialami selain Home Assessment Tool,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, wanita itu dan ahli kumpulannya juga diarah untuk tidak ke mana-mana bagi menjalani Perintah Pengawasan dan Pemantauan.

“Hasil lawatan pemantuan yang dijalankan ke atasnya oleh pihak PKD Lembah Pantai mendapati beliau masih lagi bergejala dan dirujuk semula ke HKL untuk rawatan selanjutnya pada 5 Februari lalu.

“Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada hari yang sama,” katanya yang memberitahu wanita itu ditempatkan di wad isolasi HKL dan stabil.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here