BEIJING: Dr Li Wenliang, doktor di Wuhan, China yang telah memberi amaran tentang kewujudan koronavirus baharu (2019-nCoV) disahkan meninggal dunia pada jam 2.58 pagi ini.

Perkara ini dimaklumkan Hospital Pusat Wuhan dalam kenyataannya melalui akaun media sosial weibo sebentar tadi.

“Pakar oftalmologi Li Wenliang dari hospital ini, yang menghidap pneumonia akibat jangkitan koronavirus baharu, meninggal dunia jam 2.58 pagi pada 7 Februari 2020 walaupun setelah berbagai usaha dilakukan.

“Kami ucapkan takziah dan meratapi pemergiannya,” kata kenyataan itu sebentar tadi.

Makluman daripada Hospital Pusat Wuhan tentang kematian Dr Li.

Doktor berusia 34 tahun itu disahkan menghidap koronavirus pada 1 Februari lalu setelah mengalami demam dan batuk-batuk sejak 10 Januari akibat dijangkiti salah seorang pesakitnya.

Dr Li merupakan individu terawal bercakap mengenai koronavirus berkenaan sebagai ancaman awam.

Terdahulu, media tempatan melaporkan kematian Dr Li sebelum menarik balik berita tersebut setelah disangkal pihak hospital.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan mengucapkan takziah atas pemergian Dr Li.

“Kami amat sedih atas pemergian Dr Li Wenliang. Apa yang kita perlu buat ialah meraikan usaha yang telah dilakukannya,” kata Pengarah Eksekutif WHO, Dr Mike Ryan yang dimaklumkan pemberita tentang pemergian Dr Li.

Pada 30 Disember lalu, Dr Li memberi peringatan kepada rakan-rakannya dalam aplikasi mesej WeChat supaya berhati-hati susulan kejadian di sebuah pasar makanan laut di tempatnya.

Katanya, tujuh individu yang makan di pasar itu telah jatuh sakit dan didiagnosis dengan penyakit pernafasan yang serius serta dikuarantin di hospital tempat dia bekerja.

Dr Li memberitahu rakan-rakannya, ujian yang dilakukan menunjukkan pesakit dijangkiti sejenis virus yang mempunyai simptom sama seperti SARS (sindrom pernafasan akut yang teruk).

Beliau menasihati rakan-rakannya agar memberi amaran kepada ahli keluarga secara peribadi, tetapi tidak lama selepas itu, paparan skrin (screenshot) mesej yang dihantarnya menjadi tular.

Bagaimanapun, kerana tindakannya itu, beliau dituduh menyebarkan khabar angin dan dipanggil oleh pengurusan hospital untuk menjelaskan bagaimana dia tahu tentang virus itu, sebelum dipanggil ke balai polis tempatan kerana menyebarkan khabar angin.

Dr Li kemudiannya dilaporkan menandatangani satu kenyataan yang memperakui dia melakukan kesalahan dan berjanji tidak akan mengulanginya, sebelum dibebaskan.

Dia yang merupakan pakar mata, kembali bekerja selepas itu. Tanpa pengetahuannya, salah seorang pesakit yang dirawatnya adalah pembawa virus.

Selepas mengalami batuk, demam dan kesukaran bernafas, Dr Li dimasukkan ke unit rawatan rapi dan disahkan positif koronavirus pada 1 Februari lalu.

Sumber: Astro Awani


infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here