PUTRAJAYA, 7 Feb — Harga runcit petrol RON95 turun sebanyak empat sen seliter kepada RM2.04, RON97 turun tujuh sen seliter kepada RM2.34 dan harga runcit diesel juga turun 10 sen kepada RM2.08 seliter.

Harga runcit produk petroleum tersebut untuk tempoh 8 Feb hingga 14 Feb, demikian diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata penurunan harga runcit itu disebabkan penurunan harga minyak global.

“Harga RON95 sebanyak RM2.04 seliter dan diesel sebanyak RM2.08 seliter ini menunjukkan penurunan yang besar dari minggu lepas (1 Feb hingga 7 Feb) bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada RM2.11 seliter (tetapi disekat pada had runcit RM2.08 seliter) dan diesel yang berada pada paras RM2.18 seliter,” katanya.

Lim berkata kerajaan komited dengan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum selaras dengan janji Manifesto Pakatan Harapan dan telah melaksanakan penetapan harga runcit secara mingguan dengan had harga tidak melebihi RM2.08 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel.

“Ini akan membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga runcit produk petroleum di pasaran dunia dan sebaliknya dilindungi daripada sebarang kenaikan harga melebihi RM2.08 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel,” katanya.

Lim berkata subsidi produk petroleum dan gas petroleum cecair (LPG) yang dibiayai kerajaan adalah sebanyak RM6 bilion pada tahun lepas.

Sumber: BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here