SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan kedudukan beliau sebagai pemimpin nombor satu negara kekal atau sebaliknya hanya boleh ditentukan oleh ahli Dewan Rakyat.

Menurutnya, perkara itu merupakan prinsip bagi sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

“Kalau saya tidak mahu letak jawatan (sebagai Perdana Menteri) tetapi majoriti dalam Dewan Rakyat tolak saya, saya jatuh. Itu cara demokrasi di mana yang berkuasa sebenarnya Dewan Rakyat dan ahli-ahli.

“Mereka boleh menentukan saya terus jadi Perdana Menteri atau tidak. Kalau saya kata saya tidak hendak letak jawatan tetapi mereka tidak sokong saya, (maka) saya jatuh sebab yang betul-betul berkuasa adalah parti. Itu pun kalau parti mendapat majoriti.

“Kalau parti itu pun tidak mendapat sokongan majoriti daripada ahli Dewan Rakyat, saya tetap tidak boleh jadi Perdana Menteri. Parti merupakan satu bahagian tetapi itu mestilah parti majoriti tetapi kalau parti majoriti sekali pun apabila seseorang itu dicalonkan tetapi Dewan Rakyat menolak dia tetap tidak boleh menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam wawancara bersama portal, The Malaya Post.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai janjinya untuk menyerahkan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu turut menegaskan beliau akan tetap menyerahkan jawatan kepada Anwar seperti yang dijanjikan sebelum ini.

“Kita berjanji, kita berpegang kepada janji. Saya cuma jadi Perdana Menteri kerana dapat sokongan dari parti (gabungan PH) saya terutama dari majoriti ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Menerusi persefahaman dalam kalangan pimpinan PH, Anwar akan diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.

Tarikh peralihan kuasa Dr Mahathir kepada Anwar terus menjadi perbincangan sejak kebelakangan ini susulan tempoh dua tahun yang disebut-sebut sebelum ini hampir tamat.

Pada masa ini, PKR adalah parti terbesar di Dewan Rakyat dengan 47 ahli Parlimen disusuli dengan DAP (42), Bersatu (26), Parti Amanah Negara (Amanah) (11).

Sekutu PH iaitu Warisan memiliki sembilan ahli Parlimen.

Sumber: Sinar Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here