KUALA LUMPUR: Kerajaan disyor menganjurkan program khas bagi memperingati dan memberi penerangan mengenai pengertian serta tujuan Rukun Negara diwujudkan kepada rakyat, khususnya golongan belia.

Program khas itu dicadangkan sempena ulang tahun ke-50 pengisytiharan Rukun Negara disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah, pada 31 Ogos 1970.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata penganjuran itu bertujuan mengetengahkan implikasi Rukun Negara dalam aspek mempromosi keharmonian, integriti dan perpaduan antara kaum di negara ini.

Program itu wajar dianjurkan kerana Rukun Negara dilihat tidak lagi diberi fokus untuk dijadikan sebagai falsafah dan prinsip negara, selain ia perlu difahami, dihayati serta diamalkan golongan muda.

Pengisytiharan Rukun Negara bertujuan mencapai pegangan atau pengertian asas terhadap aspirasi nasional antara pelbagai kaum di Malaysia tanpa mengira asal usul dan keturunan masing-masing.

“Apabila kita imbas kembali ketika Rukun Negara diisytiharkan, semua pihak memberi tekanan dan tumpuan untuk mempromosikannya kepada rakyat. Perbandingan ini menunjukkan Rukun Negara kini tidak diberikan tempat sewajarnya dalam pembangunan negara ini.

“Matlamat Rukun Negara tertumpu kepada memperkasakan Malaysia sebagai negara kukuh; mempunyai nilai kepelbagaian dan menjadikannya alat pembentukan negara, selain muncul sebagai falsafah harus dibanggakan rakyat,”

katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rukun Negara terbahagi kepada dua bahagian, iaitu lima objektif untuk membentuk masyarakat Malaysia serta lima prinsipnya diperkenal berikutan peristiwa 13 Mei 1969, yang melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia

Tujuan utama pengisytiharan Rukun Negara ialah membentuk perpaduan yang kukuh, manakala prinsipnya pula jelas mengenai keharmonian dan perpaduan kaum untuk kejayaan dan kestabilan Malaysia.

Lam Thye berkata, Rukun Negara juga bertujuan sebagai panduan sosial; meningkatkan perpaduan rakyat; mengekalkan cara hidup demokrasi; mewujudkan masyarakat adil; pendekatan liberal terhadap adat dan kebudayaan dan membangunkan masyarakat progresif berlandaskan sains moden serta teknologi.

“Prinsip Rukun Negara yang menjadi tunggak kepada prinsip kenegaraan dan menyatukan rakyat pelbagai agama seharusnya disemai dalam semangat generasi muda yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan.

“Prinsip terkandung di dalamnya hendaklah didukung dan dipraktikkan kerana kita tidak boleh memandang ringan terhadap kestabilan, keamanan dan keharmonian yang sudah dicapai setakat ini,” katanya.

Info Rukun Negara

* Kepercayaan kepada Tuhan

* Kesetiaan kepada Raja dan Negara

* Keluhuran Perlembagaan

* Kedaulatan Undang-Undang

* Kesopanan dan Kesusilaan

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here