MALAYSIA memperluaskan sekatan perjalanan masuk bagi pelancong China dari Wilayah Zhejiang dan Jiangsu, berkuat kuasa serta merta.

Sebelum ini, negara hanya membuat sekatan bagi Wilayah Hubei membabitkan 16 bandar sekitarnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Kementerian Luar Negeri sudah memaklumkan pihak berkuasa di China, termasuk pihak berkuasa tempatan, mengambil sekatan membabitkan tiga wilayah iaitu Hubei, Zhejiang dan Jiangsu.

“Selaras dengan keputusan pada 27 Januari lalu, iaitu sekatan perjalanan akan dikuatkuasakan mengikut wilayah yang dikenakan sekatan oleh Kerajaan China, kita memutuskan sekatan diperluaskan kepada dua lagi wilayah iaitu Zhejiang membabitkan lima bandar dan Jiangsu dua bandar dengan serta merta.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diminta memperketatkan lagi sekatan sedia ada kepada semua pelancong tanpa mengira kerakyatan, bagi yang pernah mengunjungi atau berada di tiga wilayah disebutkan tadi iaitu Hubei, Zhejiang dan Jiangsu, untuk tidak memasuki Malaysia dalam tempoh 14 hari selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program sambutan Tahun Baru Cina 2020 di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, di samping itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JIM dan agensi lain yang bertugas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor Bahru juga diminta untuk meningkatkan aspek kawalan dengan memberikan nasihat yang sewajarnya kepada orang ramai yang melalui pintu masuk ini.

“Memandangkan situasi masih terkawal, tiada keperluan untuk menyekat terus perjalanan keluar masuk dari China kecuali tiga wilayah membabitkan 23 bandar yang dikenakan ‘lock-down’,” katanya.

Setakat semalam, sebanyak 811 kematian dicatatkan akibat wabak koronavirus baharu.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here