MELBOURNE: Pihak berkuasa Australia mengeluarkan arahan berpindah susulan hujan lebat melanda Sydney dan pantai timur New South Wales (NSW) pada Isnin sehingga menjejaskan bandar terbesar negara itu tetapi pada masa sama memadamkan kebakaran hutan yang tercetus sejak November lalu.

Biro Meteorologi melaporkan taburan hujan antara 200 hingga 400 milimeter mencurah di kawasan Sydney hingga Blue Mountains dan jauh ke selatan pada hujung minggu, menyebabkan air sungai melimpah serta lebih 60 sekolah terpaksa ditutup pada Isnin.

Jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES) NSW, Andrew Richards, berkata mereka menerima lebih 2,700 panggilan semalaman untuk meminta bantuan kecemasan, menjadikan 10,000 panggilan diterima sejak Rabu lalu.

“Angin kencang menyebabkan laut bergelora dengan ombak setinggi enam meter dan pantai mengalami pasang surut air laut,” katanya.

Biro Meteorologi memberi amaran bahawa hujan lebat boleh mengakibatkan banjir kilat yang mengancam nyawa di pantai selatan NSW, selain ribut dengan kelajuan angin melebihi 90 kilometer sejam.

Susulan hujan, Perkhidmatan Bomba Luar Bandar NSW mengisytiharkan akhirnya kebakaran hutan di Currawon berjaya dipadamkan, iaitu antara lokasi yang paling terkesan dengan api berterusan selama 74 hari dan memusnahkan 312 rumah serta hampir 500,000 hektar tanah.

Masih terdapat 33 kebakaran dicatatkan setakat pagi Isnin, namun semua pada tahap amaran terendah dengan kebanyakannya membabitkan kawasan tenggara yang dilanda hujan.

Petani bersyukur dengan hujan tetapi pada masa sama, memaklumkan ia belum mencukupi untuk meresap jauh ke dalam tanah bagi mengakhiri kesan kemarau yang berlarutan selama tiga tahun.

Kemarau di Australia mengakibatkan siri kebakaran dahsyat yang mengorbankan 33 orang dan anggaran satu bilion haiwan, memusnahkan lebih 2,500 rumah serta lebih 11.7 juta hektar tanah sejak September lalu. – REUTERS

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here