POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan merakamkan percakapan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini bagi meneruskan proses siasatan berkaitan kekecohan yang berlaku ketika majlis Rapat Umum Armada di Ulu Tiram pada 31 Januari lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Salehhudin Abd Rahman berkata, beberapa pemimpin BERSATU Johor yang turut hadir di majlis berkenaan turut dipanggil untuk rakaman percakapan.

Menurutnya, semua rakaman percakapan itu dilakukan di Bukit Aman.

“Dalam pada itu, tiga lagi lelaki berusia lingkungan 30 tahun ditahan sekali gus menjadikan enam orang yang dipercayai antara dalang yang memulakan kekecohan di dalam majlis berkenaan sudah ditahan polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Salehhudin berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Balai Polis Rengit, Batu Pahat hari ini.

Pada 1 Februari lalu, Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berkata, kumpulan tidak diundang seramai kira-kira 200 orang tiba-tiba muncul di majlis rapat umum yang dihadirinya di Ulu Tiram dan melakukan provokasi.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan beliau terpaksa mengalah dan melompat pagar serta menggunakan ‘jalan tikus’ untuk mengelak kumpulan ‘penyerang’ berkenaan selepas dinasihat penganjur dan polis.

Polis kemudian menubuhkan sebuah pasukan siasatan khas untuk menyiasat dan mengenal pasti suspek insiden sekumpulan pemuda melakukan provokasi dan kekecohan itu.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here