DUA sahabat maut selepas motosikal mereka dilanggar pemandu kereta yang dipercayai mabuk pada awal pagi hari ini di Butterworth.

Mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Syaiful Hilmi Bin Rosidi, 21, dan rakannya yang juga pembonceng, Muhammad Amin Najmi Azaman, 19, kedua-duanya tinggal di Paya Keladi Hujung, Kepala Batas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.40 pagi mengenai kemalangan yang berlaku di Kilometer (KM) 13 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dari arah Sungai dua membabitkan motosikal dan sebuah kereta.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua mangsa mahu pulang ke rumah sebelum dirempuh pemandu wanita yang disyaki mabuk selepas pulang dari pusat karaoke di Jalan Raja Uda.

“Kereta itu melanggar bahagian belakang motosikal mangsa menyebabkan mereka terbabas dan terbakar.

“Kedua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan serta mayatnya dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat,” katanya.

Menurut Noorzainy, pemandu kereta berusia 47 tahun yang bekerja sebagai jurujual produk kesihatan diarahkan menjalani ujian saringan awal air kencing dan didapati negatif dadah tetapi kandungan alkohol yang diambil melebihi had ditetapkan.

Katanya, pemandu kereta itu akan direman hari ini bagi siasatan lanjut dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat di talian 018-2881424 atau di balai polis berdekatan.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here