ENAM individu termasuk seorang pegawai imigresen ditahan dalam lima serbuan berasingan pada Jumaat lalu dan semalam.

Mereka ditahan selepas dipercayai terbabit beberapa kes samun di Pulau Pinang termasuk kes terbaharu pada Jumaat lalu, membabitkan rumah peniaga warga asing di Jalan Megat Harun, Bukit Mertajam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa berusia 47 tahun melaporkan kediamannya disamun empat individu pada 1 pagi dan hilang wang tunai RM21,126 dan barangan berharga.

“Ketika kejadian, mangsa dan isterinya sedang tidur dan empat suspek datang dengan seorang daripada mereka mengaku pegawai imigresen serta berpakaian seragam, manakala yang lain memakai topi berlogo jabatan.

“Mereka kemudian memanggil mangsa dan isterinya untuk pemeriksaan dokumen sebelum mendakwa mangsa disyaki ejen membuat dokumen palsu.

“Tiga daripada lelaki itu masuk ke dalam bilik mangsa dan mengambil wang tunai RM21,126 dan barangan berharga, sebelum mereka beredar dengan menaiki kenderaan pelbagai guna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, susulan laporan, pihaknya melakukan lima serbuan berasingan yang membawa kepada penahanan mereka berusia 24 hingga 44 tahun.

“Serbuan pertama di pangsapuri di Bukit Tengah menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Myanmar serta merampas dua telefon bimbit, manakala serbuan kedua di Jalan Megat Harun menahan lelaki Myanmar.

“Bersamanya kita merampas beberapa barangan termasuk barang kemas, tiga surat pajak, satu resit jualan dan tiga telefon bimbit.

“Seterusnya serbuan ketiga dan keempat pula membawa kepada penahanan lelaki Myanmar dan lelaki tempatan di Karangan, Kedah dengan rampasan tiga telefon bimbit, manakala lelaki tempatan yang juga pegawai imigresen berusia 33 tahun ditahan di Sik, Kedah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lima daripada enam suspek mengaku melakukan kegiatan itu dan pegawai imigresen berkenaan mengaku dia memperkenalkan diri sebagai penguat kuasa jabatan, kononnya untuk melakukan pemeriksaan di rumah mangsa.

“Mereka mengaku terbabit samun di Seberang Jaya, Batu Kawan dan Simpang Ampat, malah kenderaan digunakan disewa di Alor Setar, Kedah,” katanya.

Polis masih memburu dua lagi suspek yang masih bebas dan mereka yang ditahan direman tujuh hari mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here