Persembahan hebat Vissel Kobe membolehkan pasukan dari Jepun itu membenam Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G Liga Juara Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) 2020 malam ini.

Ia pastinya malam yang tidak dapat dilupakan buat Keijiro Ogawa di Stadium Masaki Park di Kobe apabila penyerang berusia 27 tahun itu berjaya membuat jaringan hat-trick bagi membantu kemenangan kelabnya.

Pemain sayap JDT, Muhammad Safawi Rasid, berjaya mencatatkan namanya sebagai penjaring apabila berjaya meledakkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-27 selepas bola terkena tangan pemain dari Belgium, Thomas Vermaelen, di dalam kawasan petak penalti.

Gol yang menyusul bagi menyamakan kedudukan selepas jaringan pertama Ogawa pada minit ke-13 itu kelihatan terus membakar semangat juang pasukan juara Liga Super Malaysia, namun Vissel Kobe terus beraksi cemerlang untuk mendahului di separuh masa pertama, hasil sepakan kencang Kyogo Furuhashi tidak sampai 60 saat kemudian.

Di separuh masa kedua perlawanan, anak buah Benjamin Mora dilihat bekerja keras untuk menyamakan kedudukan sekali lagi, namun mereka akhirnya nampak seakan-akan hilang arah selepas Vissel menjaringkan tiga gol kemudian dari itu.

Ogawa memperoleh gol keduanya pada minit ke-58, manakala pemain dari Brazil, Dyanfres Douglas, meledakkan gol keempat tuan rumah tujuh minit kemudian, sebelum Ogawa menanduk bola masuk ke pintu gol JDT pada minit ke-72 untuk melengkapkan jaringan hat-trick.

JDT akan menjadi tuan rumah perlawanan menentang pasukan juara dua kali, Suwon Samsung Bluewings, dari Korea Selatan di Stadium Sultan Ibrahim Larkin pada 3 Mac.

JDT membuat penampilan sulung musim lepas, menamatkan saingan musim itu dengan kedudukan di tempat keempat selepas hanya menang satu perlawanan dengan Kashima Antlers, satu keputusan seri, dan empat kekalahan.

Sumber: Bernama, Malaysia Kini


infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here