KUALA LUMPUR: Skuad wanita negara mencipta sejarah tersendiri apabila menewaskan Taiwan 3-1 dalam aksi suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina, hari ini.

Kemenangan itu bukan saja membawa skuad negara ke separuh akhir tetapi turut layak secara merit beraksi di pusingan akhir Piala Uber 2020 di Denmark, Mei depan.

Empat pasukan yang layak ke separuh akhir di Manila secara automatik layak ke saingan Piala Uber.

Pemain perseorangan wanita pertama negara, Soniia Cheah mengekalkan rentak cemerlangnya apabila menyumbang mata pertama dengan menewaskan Pai Yu Po 21-14, 17-21, 22-20.

Bagaimanapun, beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang diharap mampu menambah mata kedua negara mengecewakan apabila tewas di tangan Hsu Ya Ching-Hu Ling Fang 14-21, 14-21 sekali gus menyaksikan Taiwan mengikat kedudukan 1-1.

Perseorangan kedua, Goh Jin Wei meletakkan skuad negara kembali di depan menerusi kemenangan ke atas Ching Ying Lib 21-23, 21-8, 21-12.

Beregu wanita muda, Pearly Tan-M Thinaah muncul wira apabila mengesahkan kemenangan Malaysia apabila menundukkan gandingan Cheng Chi Ya-Liu Chiao Yun 18-21, 21-17, 21-18.

Malaysia akan bertemu Jepun yang menundukkan Indonesia 3-0 pada aksi separuh akhir esok. Ia adalah perlawanan ulangan membabitkan kedua-dua pasukan selepas turut bertemu ketika saingan kumpulan.

Ketika itu Jepun menang ke atas Malaysia 3-2.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here