EMPAT lagi individu dijangkiti Covid-19 sudah dibenarkan pulang, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia menjadikan tujuh kes sudah sembuh dan dibenarkan pulang dari hospital.

Beliau berkata, tujuh kes sembuh itu adalah daripada jumlah 19 individu dilaporkan positif Covid-19 di negara ini.

“Empat individu itu adalah kontak rapat kepada kes pertama dilaporkan di Singapura dan sudah dimaklumkan melalui International Health Regulation (IHR) Focal Point Malaysia.

“Mereka dikesan dan dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh pada 24 Januari dan dilaporkan positif Covid-19.

“Mereka disahkan sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang selepas ujian pengesanan ulangan Covid-19 yang dijalankan menunjukkan hasil ujian sebanyak dua kali berturut-turut didapati negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berhubung kluster penyakit Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi JPBP berkata, kerajaan Malaysia mengucapkan tahniah kepada semua anggota kesihatan dan perubatan yang berusaha menguruskan semua kes ini sehingga pesakit sembuh dan dibenarkan pulang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihak berkuasa China menerangkan bahawa peningkatan mendadak jumlah kes positif Covid-19 adalah disebabkan perubahan definisi kes positif Covid-19 bagi Wilayah Hubei.

“Terkini, mana-mana pesakit di Wilayah Hubei yang menunjukkan semua gejala klinikal Covid-19, tetapi belum disahkan positif melalui ujian makmal adalah dikategorikan sebagai kes positif (Clinically diagnosed cases).

“Namun menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah pesakit disahkan positif Covid-19 di luar China tidak menunjukkan peningkatan kes mendadak,” katanya.

Sementara itu, Wan Azizah berkata, tiada pertambahan kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan sehingga hari ini kekal 19 kes.

Kes positif Covid-19 berkenaan membabitkan 13 warga China dan enam warga Malaysia.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here