DUA kes baharu yang dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia kepada 21 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 21 kes itu merangkumi 11 pesakit dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan Covid-19, lapan kes dalam kalangan kontak rapat dan dua kes membabitkan rakyat Malaysia yang dibawa pulang melalui Misi Bantuan Kemanusiaan dari Wuhan, China.

Daripada jumlah itu, katanya, 15 kes adalah warga negara China dan enam kes adalah warga negara Malaysia.

“Kes ke-20 membabitkan seorang lelaki warga negara China berusia 27 tahun yang tiba di Malaysia pada 1 Februari lalu bagi urusan perniagaan.

“Pada 12 Februari, dia ke Thailand dan kembali ke Malaysia pada 13 Februari. Dia dikesan menghidap demam menerusi pengimbas suhu semasa melalui Pintu Masuk Darat Antarabangsa Malaysia-Thailand.

“Dia dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada hari sama. Ujian saringan pengesanan Covid-19 dijalankan dan dia disahkan positif pada 14 Februari,” katanya pada kenyataan.

Beliau berkata, kes ke-21 pula membabitkan seorang wanita warga negara China berusia 32 tahun yang berkahwin dengan warga negera Malaysia dan menetap di negara ini.

Menurutnya, wanita itu mempunyai sejarah perjalanan ke China pada 22 Januari sehingga 30 Januari lalu untuk melawat keluarga.

“Pada 13 Februari, dia mengalami gejala sakit tekak dan kemudiannya dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Ujian saringan pengesanan Covid-19 dijalankan dan dia disahkan positif pada 14 Februari. Pesakit itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, pada program di Kuala Selangor, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menasihati orang ramai supaya tidak panik dengan jangkitan virus Covid-19 kerana kerajaan bersiapsiaga dalam menghadapi situasi itu.

Dr Dzulkefly berkata, walaupun kadar penularan virus itu tinggi di China iaitu pada kadar 4.8 hingga lima peratus, kadar penularan penyakit itu di Malaysia dan negara-negara lain hanya pada kadar 0.5 hingga satu peratus.

“Kadar ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) yang kadar penularannya pada 10 peratus dan 30 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Desa Aman, Desa Coalfield, Kuala Selangor, hari ini.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here