Tokyo: Jumlah individu yang disahkan positif koronavirus baharu (Covid-19) di atas kapal Diamond Princess yang dikuarantin di Pelabuhan Yokohama, di sini, meningkat kepada 355 hari ini, kata kementerian kesihatan negara itu.

Angka baru itu diperoleh ketika Amerika Syarikat (AS) bersedia memindahkan rakyatnya dari kapal yang dikuarantin sejak 5 Februari lalu.

Hong Kong juga akan menawarkan penerbangan pulang yang disewa khas kepada 330 rakyatnya dari kapal berkenaan, begitu juga dengan Kanada.

“Setakat ini, kita sudah menjalankan ujian terhadap 1,219 individu. Daripada jumlah itu 355 disahkan positif,” kata menteri kesihatan Katsunobu Kato.

Usaha Jepun mengawal jangkitan virus di atas kapal berkenaan menimbulkan kebimbangan antarabangsa.

Kapal persiaran itu tiba di Jepun awal Februari lalu, dengan 3,700 penumpang dan kru kapal dari 50 negara dan rantau.

Ia dikuarantinkan selepas mendapati penumpang yang turun di Hong Kong ketika pelayaran disahkan positif Covid-19.

Pegawai sentiasa mengesan jangkitan baharu dalam kalangan penumpang dan kru kapal serta menghantar mereka ke hospital, sementara yang lain tinggal di dalam kabin kapal dalam tempoh kuarantin selama 14 hari, yang sepatutnya berakhir Rabu ini.

Jepun juga tidak mampu melakukan pemeriksaan terhadap semua yang berada di atas kapal itu kerana kekurangan kit ujian, kemudahan dan kakitangan.

“Berdasarkan jumlah kes yang tinggi dikesan di dalam kapal Diamond Princess, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia membuat penilaian bahawa penumpang dan kru kapal berada dalam risiko pendedahan yang tinggi,” kata Kedutaan Amerika Syarikat di dalam surat kepada penumpang.

Kapten kapal turut memaklumkan kepada penumpang bahawa kerajaan Jepun mungkin akan memulakan ujian pengesanan virus bermula Selasa.

Mereka yang negatif akan dibenarkan turun dari kapal bermula Jumaat.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here