KUALA LUMPUR: Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berharap semua pihak berhenti mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad segera melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Presiden PKR itu berkata, Pakatan Harapan (PH) sebaliknya mempunyai persefahaman dengan isu peralihan kuasa akan diselesaikan dengan baik.

“Ia (peralihan kuasa Perdana Menteri) akan dimuktamadkan dalam mesyuarat (Majlis Presiden PH) pada 21 Februari ini. Proses peralihan ini untuk kebaikan negara dan perlu dilakukan secara aman serta teratur.

“Saya harap lepas ini tiada lagi desakan supaya perdana menteri (Dr Mahathir) lepaskan kuasa dengan lebih segera, tetapi saya tak boleh biar dua-dua pihak… ada yang tak setuju dan setuju.

“Apa yang penting, PH mesti pegang pada keputusan dan perjanjian,” katanya selepas Majlis Malam Anugerah Gabungan Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (ACCIN) di sini, malam ini.

Pada majlis berkenaan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut melancarkan logo baharu ACCIN, selain menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada bekas Pengerusi gabungan itu, Datuk Mustapha Ma.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ACCIN, Mohd Jamaludin Mohamed Shamsudin; Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; pendakwah bebas, Dr Zakir Naik dan Pesuruhjaya Tinggi Gambia ke Malaysia, Ramzia Diab Ghanim.

Semalam, Dr Mahathir menegaskan dirinya tidak terbabit dengan sebarang gerakan atau kumpulan tertentu yang mahukan beliau kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal.

Sebaliknya Ahli Parlimen Langkawi itu mengulangi kenyataan berpegang kepada janji untuk melepaskan jawatan kepada penggantinya selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan berlangsung November ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memaklumkan beberapa Ahli Parlimen PKR yang dikatakan menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Dr Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri hingga habis penggal sudah menafikan dakwaan berkenaan.

“Ada segelintir kecil, saya tak tahu tetapi semua nafi, jadi tak apalah. Kalau ada Ahli Parlimen PKR yang tandatangan SD, mereka perlu jawab kepada kepemimpinan parti dan PH.

“Soalnya adalah pendirian parti dan PH yang menyokong kepimpinan Tun Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh dan saya sebagai perdana menteri kelapan. Itu pendirian parti dan PH,” katanya.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here