KUANTAN, 16 Feb — Malaysia berhasrat mewujudkan perjanjian dengan kerajaan Vietnam bagi mengatasi masalah pencerobohan nelayan laut dalam dari negara itu di perairan negara, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata perjanjian seumpama itu telah wujud antara kerajaan Malaysia dengan Indonesia, dan ia boleh dilaksanakan dengan Vietnam susulan surat hasrat yang ditandatangani kerajaan Malaysia dan Vietnam pada Ogos lalu sebagai persetujuan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Kita pandang serius kerana akhir-akhir ini semacam ada penambahan jumlah bot nelayan asing dan apabila ada nelayan asing yang ceroboh perairan Pantai Timur negara, majoritinya adalah dari Vietnam.

“Pada tahun lalu sahaja kita telah tahan 141 nelayan Vietnam yang menceroboh, termasuk di dalam Zon Ekonomi Eksklusif.

“Reaksi kerajaan Vietnam positif dan mereka sedar mengenai isu ini. Mereka juga menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama,” katanya kepada pemberita ketika Program Integrasi Nelayan Balok di Pasar Nelayan Balok di sini, yang turut dihadiri Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang Rashima Baharuddin.

Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, berharap isu pencerobohan nelayan asing di negara ini tidak akan berlarutan sehingga aset ketenteraan digunakan bagi menanganinya.

“Memang ada kes di mana apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengejar mereka, mereka keluar dari kawasan perairan negara. Kalau boleh janganlah sehingga jadi seperti itu (melibatkan aset ketenteraan),” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang masih berada di Hubei dan Wuhan, China susulan penularan wabak COVID-19, beliau berkata usaha sedang digerakkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Saya tidak pasti bila mereka akan dibawa pulang tetapi NADMA sedang berusaha untuk membawa kira-kira 30 rakyat Malaysia yang masih berada di sana,” katanya.

Beliau juga berkata lapan pejabat kedutaan dan konsulat di China termasuk Beijing, Hong Kong dan Taiwan akan terus beroperasi seperti biasa bagi membantu menguruskan rakyat Malaysia di sana dengan hanya kakitangan tertentu bersama pasangan serta tanggungan mereka akan dibawa pulang, seperti yang diumumkan pada 5 Feb lalu.

Mengulas mengenai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China di Laos pada 20 Feb ini, Saifuddin berkata ia adalah khusus bagi negara peserta membincangkan usaha menangani COVID-19.

“Tujuan mesyuarat itu adalah untuk memperkukuh kerjasama ASEAN dan China dalam menangani jangkitan ini. Kita dalam ASEAN kita memang ada keyakinan bahawa China boleh dan mampu atasi jangkitan ini.

“Mesyuarat itu juga adalah untuk kita bertukar-tukar nota pengalaman (menangani wabak ini)  dan mendengar taklimat terbaru daripada Menteri Luar China,” kata beliau.

Sumber: BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here