DILAHIRKAN tanpa tangan yang sempurna, ia tidak menjadi penghalang seorang lelaki di Tanah Merah, bergelar tukang gunting rambut.

Hasbullah Hashim Liong, 30, orang kurang upaya (OKU) tanpa lengan sebelah kiri. manakala tangan kanannya hanya separas siku, menceburi bidang itu, sejak sembilan tahun lalu.

Dia yang juga anak sulung daripada lima adik beradik itu kelihatan selesa dan gembira dengan pekerjaan terbabit.

Ia juga menjadi punca pendapatannya bukan sahaja untuk diri sendiri, malah dapat membantu keluarga.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya menghadiri kursus membaiki telefon selama beberapa bulan sebelum ibu, Mariani Mamat, 53, membantu mengeluarkan modal membina kedai di depan rumah.

HASBULLAH mengunting rambut pelanggannya.FOTO Syamsi Suhaimi

“Kemudian, memikirkan saya yang memang mahir menggunting rambut sejak dari bangku sekolah lagi, saya mengambil keputusan menyediakan khidmat gunting rambut lelaki.

“Kemahiran menggunting ini saya perolehi daripada arwah datuk sebelah ibu, malah semasa tinggal di asrama sewaktu sekolah menengah saya selalu menggunting rambut kawan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ayer Chanal, di Tanah Merah, hari ini.

Hasbullah yang juga anak kacukan Cina Muslim berkata, dia bersyukur kerana mempunyai ramai pelanggan tetap selain mereka berpuas hati dengan hasil kerjanya.

“Saya mengambil upah gunting sebanyak RM4 untuk kanak-kanak, manakala RM6 bagi dewasa. Namun, ia bergantung kepada gaya rambut mengikut permintaan pelanggan.

“Setiap hari terdapat antara 10 dan 15 pelanggan dan jumlah ini lebih ramai sewaktu cuti sekolah,” katanya.

Hasbullah yang juga penerima elaun pekerjaan OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan, turut aktif dalam sukan sepak takraw bersama rakannya di kampung.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here