ALOR GAJAH: Seorang pesara polis maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar kereta ketika dipercayai membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat Taman Mutiara di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, Allahyarham Jahi Mahat, 65, terbunuh selepas motosikal Modenas Kriss ditunggangnya berlanggar Volkswagen Tiguan dipandu seorang lelaki yang bertugas sebagai penyelia tapak pembinaan berusia 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata ketika kejadian, mangsa yang beralamat di Taman Seri Sutera, di sini dalam perjalanan dari arah bandar raya Melaka dipercayai ingin membuat pusingan U ke arah bandar raya berkenaan.

“Pemandu kereta dalam perjalanan dari Simpang Ampat, di sini ke bandar raya Melaka dan setibanya di tempat kejadian, pemandu meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat hijau.

“Bagaimanapun pemandu itu melanggar motosikal ditunggangi mangsa yang dipercayai membuat pusingan U ke arah bandar raya Melaka dan kejadian itu disaksikan seorang lelaki berusia 41 tahun,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Alor Gajah, di sini untuk dibedah siasat.

Pemandu terbabit tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here