KUALA LUMPUR: Sektor komoditi tidak begitu terjejas akibat penularan wabak coronavirus (COVID-19) apabila harga minyak sawit mentah (CPO) dilaporkan masih berada pada paras baik sekitar RM2,700 hingga RM2,800 setan.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, bagaimanapun berkata pihaknya tetap akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk memasukkan

peserta industri dalam sektor komoditi bagi dipertimbangkan dalam pakej rangsangan ekonomi.

Beliau berkata, kementerian sedang berbincang dengan pihak berkepentingan bagi membuat cadangan memasukkan peserta industri sektor komoditi dalam pakej rangsangan ekonomi itu.

“Walaupun sesetengah sektor seperti pelancongan terjejas teruk akibat virus itu, harga minyak sawit masih berada di paras yang baik.

“Kita gembira bahawa sektor komoditi tidak terkesan sangat namun pihak kementerian akan menghantar cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Biodiesel B20 bagi sektor pengangkutan di Dataran Merdeka, di sini.

Program itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pakej rangsangan ekonomi untuk mengurangkan impak ekonomi luaran akibat wabak COVID-19, akan diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Khamis ini.

Dalam perkembangan lain, Teresa berkata, penggunaan biodiesel B20 akan membabitkan penggunaan kira-kira 1.06 juta tan minyak sawit setahun.

Beliau berkata, kerjasama dengan syarikat petroleum seperti PETRONAS, Shell, Petron, Chevron dan BHP akan dilaksanakan bagi membekalkan biodiesel B20 secara berperingkat ke lebih 3,400 stesen minyak di seluruh Malaysia.

“Terdapat banyak depoh di seluruh negara dan kemudahan sedang dinaik taraf untuk menampung B20 dan B30 yang sedang dikaji kerana ini akan menjadi hala tuju masa depan negara.

Beliau berkata sasaran kementerian ialah penggunaan biodiesel B30 pada masa depan.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here