PADANG BESAR, 21 Feb — “Nak dapat RM20 sehari pun susah. Mereka (warga Thailand) senang-senang datang sini tawar harga tambang lebih rendah dan rampas pelanggan kami”.

Itu luahan seorang pemandu teksi di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Amran, 46, mengenai kegiatan pengusaha perkhidmatan pengangkutan seperti van dan kereta sapu dari negara jiran yang didakwa semakin berleluasa memasuki Malaysia untuk menjalankan operasi mereka secara haram, sehingga ke tahap menjejaskan pendapatan pengusaha pengangkutan tempatan terutama teksi.

“Perkara ini bukan berlaku dalam masa sehari dua, tetapi mereka sudah lama jalankan aktiviti haram sejak bertahun-tahun lamanya …’depa’ (mereka)  seolah-olah kebal daripada undang-undang dan bebas mengambil penumpang tanpa rasa takut, malah berlagak seperti samseng pun ada,” katanya kepada Bernama  ketika ditemui di Stesen Kereta Sewa Padang Besar baru-baru ini.

Katanya penyedia pengangkutan haram itu bukan hanya  mengambil dan menghantar penumpang di sekitar Padang Besar, malah turut membawa pekerja restoran makanan Thai dari Pulau Pinang, Alor Setar, Kedah dan Seremban, Negeri Sembilan bagi memperbaharui pas lawatan sosial mereka di Kompleks Imigresen, Kastam,  Kuarantin dan Keselamatan ( ICQS) Padang Besar.

Beliau berkata kebanyakan pemandu kenderaan haram itu yang berasal dari wilayah Selatan Thailand iaitu  Pattani dan Songkhla rancak menjalankan aktiviti pada musim cuti sekolah serta hujung minggu.

Beliau berkata mereka bergerak dari tiga lokasi di sekitar Padang Besar iaitu di hadapan Stesen Keretapi Padang Besar, depan Arked Niaga Padang Besar serta depan Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar, dan untuk mengenali kenderaan yang digunakan oleh pemandu kereta dan van sapu warga Thailand itu tidak susah kerana mereka biasanya menggunakan cermin gelap dengan nombor pendaftaran negara jiran itu.

“Kelicikan mereka yang dapat menghidu awal kehadiran anggota penguatkuasa antara faktor yang menyebabkan mereka sentiasa terlepas daripada tindakan undang-undang. Bila ada kenderaan penguatkuasa  seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melakukan rondaan, mereka hilang entah ke mana, seolah-olah tahu pergerakan keluar masuk kenderaan JPJ,” katanya sambil merenung ke arah teksi miliknya yang telah berusia lebih 10 tahun itu.

 Ini sahaja yang saya dapat hari ini, tak sampai RM20 pun…kerja dari pagi hingga ke petang, kalau keadaan berterusan macam mana nak cari makan untuk anak dan bini (isteri),” kata Amran, sambil menunjukkan kepada  wartawan Bernama sekeping wang kertas RM10 dan beberapa keping wang kertas RM1 yang dikeluarkan daripada koceknya. 

Amran mendakwa beliau dan beberapa orang pemandu teksi lain pernah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa malah telah menghantar gambar dan rakaman video.

“Saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan bagi menjaga periuk nasi kami pemandu teksi…rondaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa tidak cukup untuk menghentikan perkara ini,” katanya.

Turut terkesan dengan kehadiran kereta dan van haram,  seorang lagi pemandu teksi yang hanya ingin dikenali sebagai Rahmat, 52, mendakwa kehidupan pemandu teksi di Padang Besar ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ berbeza dengan keadaannya lima tahun lepas.

Beliau yang telah 11 tahun menjadi pemandu teksi berkata jika dahulunya pendapatan yang diperoleh  agak lumayan apabila pelancong tempatan dan luar negara akan menggunakan perkhidmatan mereka kerana tidak mempunyai banyak pilihan ketika itu, namun kini keadaan cukup berbeza.

“Mereka (pengusaha kereta dan van sapu) bukan hanya ambil penumpang dari Padang Besar belah Malaysia tetapi turut membawa keluar masuk penumpang dari Thailand. Depa (mereka) makan dua-dua belah…itu yang tak tahan tu,” katanya.

Beliau mendakwa tidak cukup dengan kebanjiran kereta dan van sapu, sejak beberapa bulan kebelakangan ini terdapat kelibat motosikal sapu dari negara jiran yang mengambil penumpang keluar masuk dari sempadan negara.

“Tengok tu motosikal tambang tanpa rasa takut ambil penumpang,” katanya sambil menunjuk ke arah warga Thailand yang memakai ves warna kuning menunggu pelanggan di hadapan sebuah kedai berdekatan dengan stesen teksi Padang Besar.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata setahu beliau motosikal tambang hanya dibenarkan beroperasi di negara jiran dan tidak boleh mengambil penumpang di sebelah Malaysia.

“Saya tak faham bagaimana mereka boleh lepas masuk ke negara ini…bukan sekali dua masuk tetapi beberapa kali ‘angkut’ penumpang,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati pengusaha kereta, van dan motosikal sapu warga Thailand  itu beroperasi setiap hari bermula dari 10 pagi hingga 6 petang.

Tinjauan juga mendapati kira-kira 50 motosikal tambang ini giat melakukan aktiviti itu pada cuti Tahun Baharu Cina, bulan lepas dan mengenakan bayaran RM7 hingga RM10 untuk ke pekan Siam Padang Besar (dalam kawasan Thailand).

Rahmat beranggapan pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri perlu memikirkan sesuatu bagi mengatasi masalah ini kerana beliau sendiri tidak tahu berapa lama lagi dapat bertahan  dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Masa depan kami kabur ibarat cermin ini…jika tidak dibersihkan lama-lama tak  nampak apa pun dan tak berguna lagi…kabur dan usang,” katanya  sambil mengelap cermin sisi teksinya.

Sumber: BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here