JOHOR BAHRU: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya dipercayai melanggar tiang jejantas di Jalan Tampoi, dekat sini, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah, berkata Nur Aini Athirah Awang, 22, yang bekerja sebagai ejen insurans, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, katanya, anggota pertanyaan Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerima maklumat orang awam berhubung kemalangan maut.

“Siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu dipercayai kejadian terbabas ke kanan jalan lalu melanggar batu pembahagi jalan sebelum merempuh tiang jejantas di kiri jalan.

“Mangsa dilaporkan cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang beralamat di Taman Desa Mutiara dekat sini, dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Kamil Zulkiflie, berkata sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.54 pagi, bomba menggerakkan seramai 11 anggota, sebuah jentera dan unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.

“Mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja dan memandu sendirian kereta jenis Proton Saga Flx.

“Mayat mangsa dikeluarkan menggunakan peralatan penyelamat dalam masa 10 minit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya manakala operasi tamat sepenuhnya jam 9.46 pagi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here